Indeks Harga Seunit Keluli Susut Dalam Jun 2025 -- DOSM

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Indeks harga seunit keluli mencatatkan penyusutan antara 1.0 peratus hingga 3.1 peratus pada Jun 2025 berbanding bulan sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). 

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata penurunan tertinggi dicatatkan di Pahang (-3.1 peratus), diikuti oleh Sibu (-2.5 peratus), Pulau Pinang, Kedah dan Perlis (-2.1 peratus).

"Indeks harga seunit bahagian keluli dan logam menunjukkan kejatuhan pada Jun 2025, dengan perubahan bulan ke bulan antara - 0.2 peratus hingga - 0.7 peratus.

Pengurangan ini mencerminkan kelembapan sederhana dalam harga bahan logam dan keluli di pasaran," katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, peningkatan kecil telah direkodkan di beberapa kawasan seperti Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (0.4 peratus), manakala Miri mencatatkan kenaikan 0.3 peratus.

Sementara itu, dilaporkan bahawa indeks harga simen mencatatkan pertambahan marginal antara 0.1 peratus hingga 0.2 peratus pada Jun 2025 berbanding bulan sebelumnya. 

Perbandingan tahunan bagi Jun 2024 serta Jun 2025 menunjukkan bahawa indeks harga seunit simen meningkat antara 0.3 peratus hingga 3.7 peratus di kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

"Kenaikan tertinggi dicatatkan di Johor (3.7 peratus), diikuti oleh Tawau (3.6 peratus) dan Pulau Pinang, Kedah dan Perlis (2.5 peratus)," katanya.

Perbandingan dari  tahun ke tahun indeks harga seunit untuk keluli menyaksikan penyusutan dari 5.1 peratus hingga 15.5 peratus pada Jun 2025 daripada bulan yang sama tahun sebelum ini, yang melibatkan kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Mohd Uzir ketika mengulas mengenai purata harga seunit keluli, termasuk bar bulat keluli ringan dan bar berbunga ketegangan tinggi Mycom 60 berkata ia mencatatkan peningkatan sebanyak 0.1 peratus, dengan harga purata RM3,480.10 setiap metrik pada Jun 2025, berbanding dengan RM3,476.75  pada bulan sebelumnya.

Indeks Kos Bahan Binaan Bangunan (IKB) termasuk bar keluli mengikut kategori bangunan dan kawasan di Semenanjung Malaysia menyaksikan penurunan antara - 0.1 peratus hingga - 1.0 peratus pada Jun 2025 berbanding bulan sebelumnya. Kejatuhan ini dicatatkan bagi semua kategori bangunan di kawasan Pulau Pinang, Kedah serta Perlis, Pahang dan Terengganu serta Kelantan

-- BERNAMA