BERITA TERKINI   ASEAN pertimbang naik taraf hubungan dengan Turkiye kepada status rakan dialog penuh dalam masa terdekat - Mohamad Hasan | A1 AK Koh Group Bhd yang mula disenaraikan di Pasaran ACE dibuka mendatar pada 25 sen, tidak berubah daripada harga IPO, dengan 30.44 juta saham diniagakan | 

Eksport Minyak Sawit Susut 10.52 Peratus, Pengeluaran MSM Merosot 4.48 Peratus Pada Jun

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Eksport minyak sawit Malaysia menyusut sebanyak 10.52 peratus bulan ke bulan kepada 1.26 juta tan pada Jun daripada 1.41 juta tan pada Mei, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Negara menghasilkan 1.69 juta tan minyak sawit mentah (MSM) pada bulan lepas iaitu penurunan sebanyak 4.48 peratus daripada 1.77 juta tan pada bulan sebelumnya, menurut laporan prestasi industri terkini agensi tersebut.

Pengeluaran isirung sawit menurun sebanyak 5.66 peratus bulan ke bulan kepada 396,863 tan daripada 420,658 tan pada Mei.

Sementara itu, pengeluaran minyak isirung sawit mentah turun sebanyak 8.48 peratus bulan ke bulan kepada 192,665 tan daripada 210,512 tan sebelumnya manakala pengeluaran dedak isirung sawit menyusut 7.85 peratus bulan ke bulan kepada 213,398 tan daripada 231,568 tan.

Mengenai inventori, MPOB berkata stok simpanan MSM berkurang sebanyak 5.42 peratus kepada 1.04 juta tan pada Jun daripada 1.10 juta tan pada Mei manakala stok minyak sawit yang diproses meningkat sebanyak 12.19 peratus bulan ke bulan kepada 988,840 tan daripada 881,372 tan sebelumnya.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan inventori minyak sawit sebanyak 2.03 juta tan pada Jun, meningkat daripada 1.99 juta tan pada Mei.

Bagi eksport, eksport minyak isirung sawit mengecil sebanyak 27.60 peratus kepada 86,173 tan daripada 119,020 tan pada Mei.

Eksport dedak isirung sawit susut sebanyak 1.84 peratus bulan ke bulan kepada 189,774 tan daripada 193,328 tan, eksport oleokimia menurun 12.95 peratus bulan ke bulan kepada 202,829 tan daripada 233,009 tan manakala eksport biodiesel merosot dengan ketara sebanyak 91.50 peratus bulan ke bulan kepada 2,792 tan daripada 32,848 tan.

Tiada import MSM direkodkan pada Jun manakala import minyak isirung sawit meningkat sebanyak 47.70 peratus bulan ke bulan kepada 11,926 tan daripada 8,074 tan pada Mei.

-- BERNAMA