BERITA TERKINI   Setiausaha Negara AS Marco Rubio, sahkan komitmen jangka panjang Washington terhadap ASEAN | Marco Rubio, Sergey Lavrov adakan pertemuan di luar AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan di Kuala Lumpur | Beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah kekal bersama Persatuan Badminton Malaysia - Presiden BAM | Palestin: Setiausaha Negara AS Marco Rubio yakin akan ada gencatan senjata, bolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan - PM Anwar | 

Sidec Lancar Program Pemecut Berkembar Selangor Bagi Pacu Syarikat Pemula Niaga, PKS

SHAH ALAM, 9 Julai (Bernama) -- Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) melancarkan Program Pemecut Berkembar Selangor edisi 2025.

Program itu merupakan inisiatif dwi landasan yang bertujuan meningkatkan pertumbuhan syarikat pemula niaga serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) paling berpotensi di Malaysia dalam industri teknologi berasaskan penyelidikan dan kejuruteraan lanjutan (deep tech) selain memberi tumpuan kepada pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Yong Kai Ping berkata program tersebut merangkumi Program Pemecut Teknologi Berasaskan Penyelidikan dan Kejuruteraan Lanjutan Selangor (Deep-X) dan Program Pemecut Teknologi Runcit Selangor (Retail-X).

Katanya, ia direka untuk membantu perusahaan berpotensi tinggi mempersiapkan pertumbuhan mereka bagi masa hadapan selain mengembangkan operasi ke pasaran global.

“Dengan Deep-X dan Retail-X, kami bukan sahaja mempercepatkan pertumbuhan syarikat, tetapi juga membina ekosistem yang menyeluruh untuk menyokong pengasas pada setiap peringkat.

"Program ini direka untuk melahirkan usahawan yang bersedia ke peringkat global dengan kelengkapan, rangkaian dan pemikiran yang betul,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan berkenaan, Program Pemecut Berkembar Selangor disokong oleh rangkaian kukuh yang terdiri daripada penyedia modal, pemudah cara teknologi dan institusi akademik bagi membimbing para peserta dari peringkat idea hingga ke pengembangan pasaran.

Sidec berkata rakan modal teroka (VC) bagi program itu termasuk Artem Ventures, Gobi Partners, Gen AI Fund, 500 Global, Venture Rock, Ignite, Permodalan Negeri Selangor Bhd (PNSB) dan First Move Fund.

Platform pendanaan awam berasaskan ekuiti (ECF) yang terlibat dalam program ini ialah pitchIN, Ata Plus dan MyStartr manakala rakan teknologi yang mengesahkan penyediaan infrastruktur digital adalah Cloud Credits dengan sokongan platform disediakan oleh Google Cloud, Alibaba Cloud dan BytePlus.

"Selain itu, program ini bekerjasama rapat dengan universiti dan institusi akademik bagi menyediakan peserta dengan akses kepada kepakaran penyelidikan, pengesahan teknikal dan pembangunan bakat.

“Rangkaian rakan ekosistem Sidec yang lebih meluas turut menyokong hubungan pasaran, kerjasama strategik, akses pelabur dan peluang untuk jaringan serantau serta antarabangsa,” kata agensi tersebut.

Pelancaran program ini pada 3 Julai bertepatan dengan ulang tahun ke-10 Sidec.

Sejak penubuhannya, Sidec menyokong lebih 320 syarikat pemula niaga, memudahkan pengumpulan dana berjumlah RM203 juta secara kolektif serta memberikan pendedahan serantau kepada para pengasas melalui misi antarabangsa.

“Melangkah ke hadapan, Program Pemecut Berkembar merupakan tonggak utama dalam pelan hala tuju Sidec bagi memupuk 500 syarikat pemula niaga menjelang 2030, sejajar dengan agenda perubahan ekonomi digital Selangor dan Malaysia secara lebih menyeluruh,” kata Sidec.

Deep-X menyasarkan syarikat pemula niaga bagi teknologi berasaskan penyelidikan dan kejuruteraan lanjutan yang dipacu oleh kecerdasan buatan (AI) dalam pelbagai sektor seperti teknologi pertanian, bioteknologi, teknologi kesihatan, robotik, semikonduktor, kelestarian dan inovasi sifar karbon.

Ia menawarkan bimbingan, akses pasaran, penglibatan pelabur serta nilai program melebihi RM300,000 sepanjang tempoh 12 minggu program tersebut berlangsung.

Syarikat pemula niaga Deep-X yang berprestasi terbaik juga akan dipilih untuk menyertai misi inovasi antarabangsa ke Plug & Play di Silicon Valley, Amerika Syarikat apabila mereka akan membentang kepada pelabur global berhubung pemecut terkemuka selain meneroka kerjasama komersial.

Permohonan untuk Deep-X dibuka sehingga 20 Julai 2025. Syarikat pemula niaga juga akan membentang dan mempamerkan produk mereka di Konvensyen Bandar Pintar & Ekonomi Digital Selangor (SDEC) 2025.

Sementara itu, Retail-X menyokong PKS berpotensi tinggi dalam segmen perniagaan kepada pengguna (B2C) seperti fesyen, gaya hidup, makanan dan minuman, kediaman, kesihatan, kecantikan serta kesejahteraan.

Program ini memberi tumpuan kepada pemasaran berkuasa AI, sistem inventori pintar dan strategi pertumbuhan pelbagai saluran.

Retail-X akan diakhiri dengan Hari Demo Akhir apabila PKS terbaik akan membentang kepada pelabur.

Pemenang berpeluang menerima RM50,000 tunai dan ganjaran lain, pendedahan jenama serta perjalanan penuh tajaan ke Sidec World Stage Venture ke ByteDance iaitu mereka akan mendapat akses eksklusif kepada inovasi perdagangan TikTok Shop.

Permohonan untuk Retail-X ditutup pada 13 Julai 2025.

-- BERNAMA