Penurunan 2.75 Peratus OPR Akan Rangsang Perniagaan, Kekalkan Daya Tahan Ekonomi
Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) – Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus adalah langkah untuk merangsang aktiviti perniagaan dan juga mengekalkan permintaan domestik.
Selain itu ia juga bertujuan untuk meningkatkan pertumbuhan dan mengekalkan daya tahan ekonomi negara, kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid
Penurunan kadar itu yang akan meningkatkan pendapatan boleh guna, disifatkan oleh sebagai satu langkah pragmatik memandangkan kebimbangan terhadap potensi risiko akibat daripada tarif lebih tinggi yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS).
Mohd Afzanizam berkata fokus utama sekarang adalah untuk menggalakkan pertumbuhan, dan kadar inflasi yang sederhana membuka ruang kepada BNM untuk mengurangkan OPR.
"Penurunan itu seharusnya dapat merangsang keyakinan, yang boleh menjadi faktor positif bagi pertumbuhan. Kami percaya pengurangan kadar itu adalah langkah yang baik kerana BNM peka kepada risiko berkaitan dalam prospek ekonomi yang berkembang.
"Ia juga menunjukkan bahawa bank pusat mengambil langkah yang sewajarnya, yang boleh diterjemahkan kepada keyakinan pasaran," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata penurunan OPR akan membantu mengurangkan kos peminjaman dalam kalangan pelanggan bank sedia ada, sama ada individu atau perniagaan, terutama mereka yang mengambil pembiayaan kadar berubah-ubah.
"Dengan (langkah) ini, jumlah bayaran balik mereka akan berkurangan dan meningkatkan pendapatan boleh guna. Bagi bakal peminjam, mereka boleh mendapatkan kadar pembiayaan yang lebih kompetitif. Semua ini akan membantu mengekalkan permintaan domestik," katanya.
Mengenai prestasi ringgit, yang dipengaruhi terutamanya oleh faktor luaran dan kaitannya dengan penurunan OPR, Mohd Afzanizam berkata peniaga dan pelabur akan menilai keadaan, seperti ketidaktentuan global, secara menyeluruh.
Beliau berkata dari segi makroekonomi, Malaysia menunjukkan arah aliran menggalakkan dengan defisit fiskal mengecil kepada 4.5 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada suku pertama 2025 (S1 2025) berbanding 5.7 peratus pada S1 2024.
“Ini menunjukkan bahawa kerajaan berada di landasan yang betul untuk mengurangkan defisit fiskal pada 2025 kepada 3.8 peratus daripada KDNK daripada 4.1 peratus pada 2024.
“Sehubungan itu, ringgit berpotensi untuk terus meningkat kerana kerajaan terus komited untuk melaksanakan reformasi ekonomi,” katanya.
Selain itu, beliau berkata pada separuh kedua 2025 (2H 2025), perluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), semakan tarif elektrik dan rasionalisasi subsidi RON95 akan diterjemahkan kepada kedudukan fiskal yang lebih baik untuk kerajaan persekutuan.
“Semua ini akan membawa kepada pengukuhan ringgit,” katanya.
Sementara itu, ketua ekonomi global Juwai IQI Shan Saeed berkata penurunan OPR kepada 2.75 peratus adalah satu langkah penting ke arah dasar akomodatif, yang boleh menyokong permintaan domestik di tengah-tengah ketidaktentuan global.
“Dengan pertumbuhan KDNK suku pertama yang menyederhana kepada 4.4 peratus dan perdagangan yang lemah -- sebahagiannya disebabkan oleh kenaikan tarif AS -- langkah penurunan ini bertujuan untuk meningkatkan kecairan, merangsang penggunaan dan meningkatkan pelaburan swasta.
“Dengan menurunkan OPR dan telahpun mengurangkan keperluan rizab berkanun , BNM menyasarkan trajektori pertumbuhan yang mampan, terutamanya apabila inflasi kekal tidak berubah pada sekitar 1.2 peratus, jauh di bawah siling sasaran,” katanya.
Dari sudut makroekonomi, Shan berkata pelarasan kadar itu berkemungkinan memberi kesan kepada sentimen domestik dan pertumbuhan kredit.
Beliau juga berkata unjuran KDNK, yang pada mulanya menyasarkan jajaran 4.5 hingga 5.5 peratus bagi tahun ini, kini berkemungkinan berkembang antara 4.7 dan 5.3 peratus.
"Tempoh penurunan kadar boleh menyokong lantunan yang lebih berdaya tahan kemudian nanti," katanya.
Mengenai prestasi ringgit, Shan berkata langkah itu mungkin meredakan tekanan peningkatan, sejajar dengan matlamat BNM untuk mencapai pertukaran asing yang seimbang.
“Justeru, ketidaktentuan global yang berterusan, terutamanya berkaitan ketegangan perdagangan, akan menjadi pemacu utama ketidaktentuan pertukaran asing dan mungkin membayangi kesan perubahan kadar pertukaran ke atas ekonomi tempatan,” katanya.
Oleh itu, Shan berkata beliau menjangka BNM mengekalkan kestabilan struktur ringgit, dalam jajaran 4.10 hingga 4.30 berbanding dolar AS pada 2025.
-- BERNAMA