Ringgit Susut Berbanding Dolar AS Didorong Kebimbangan Terhadap Tarif AS
Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani
KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Kebimbangan terhadap tarif Amerika Syarikat (AS) yang terus mendominasi sentimen pasaran menyebabkan ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS hari ini, kata seorang penganalisis.
Selain itu, pengurangan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas (bps) yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 3 petang turut menyumbang kepada penyusutan nilai ringgit.
Pada 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 4.2500/2540 berbanding dolar AS daripada paras 4.2365/2445 ketika ditutup pada Selasa.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata secara keseluruhannya, ringgit terus diniagakan dalam julat sempit.
Beliau berkata BNM telah bersedia untuk menguruskan ekonomi dengan melaksanakan pengurangan OPR lebih awal, yang dijangka memberikan sokongan kepada pertumbuhan ekonomi pada separuh kedua 2025.
“Sehubungan itu, langkah ini seharusnya positif untuk ringgit kerana keadaan makroekonomi Malaysia kekal berdaya tahan, sama ada dari segi fiskal mahupun monetari,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, BNM dalam kenyataan Dasar Monetari hari ini berkata prestasi ringgit akan terus dipengaruhi terutamanya oleh faktor-faktor luaran.
Ia berkata prospek ekonomi Malaysia yang menggalakkan dan pembaharuan struktur domestik yang dilengkapi dengan inisiatif berterusan untuk menggalakkan aliran modal, akan terus memberi sokongan yang berterusan kepada ringgit.
Pada penutup dagangan, ringgit melemah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia susut berbanding yen Jepun kepada 2.8983/9012 daripada 2.8970/9026, rendah berbanding pound Britain kepada 5.7787/7842 daripada 5.7591/7700 dan merosot berbanding euro kepada 4.9780/9827 daripada 4.9745/9839.
Mata wang tempatan turut ditutup bercampur-campur berbanding mata wang di negara-negara ASEAN.
Ringgit menurun berbanding dolar Singapura kepada 3.3182/3219 daripada 3.3152/3217, tetapi meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.9946/13.0128 daripada 13.0182/0488.
Ia meningkat sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 261.3/261.8 daripada 261.4/262.0 dan kekal tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 7.51/7.52 daripada 7.51/7.53.
-- BERNAMA