Exim Bank, Marrybrown Memeterai Perjanjian Pengembangan Di Australia

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) - Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank) telah merasmikan perjanjian pembiayaan dengan Marrybrown Australia Pty Ltd untuk menyokong pembukaan 10 cawangan restoran itu di seluruh Victoria, Australia.

Bank tersebut dalam satu kenyataan hari ini berkata melalui momentum ini, Marrybrown bersedia untuk membuka enam cawangan tambahan menjelang akhir 2025, mengukuhkan lagi jejaknya di landskap restoran perkhidmatan segera yang kompetitif di Australia.

"Pengembangan ini adalah hasil langsung dari Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada awal tahun ini dengan Marrybrown Sdn Bhd, yang bertujuan menjana francais Malaysia untuk berkembang di Australia dan di peringkat antarabangsa.

"Dengan permintaan pelanggan yang tinggi untuk makanan halal di Australia, lokasi strategik Marrybrown menjanjikan posisi terbaik bagi melayani pelbagai komuniti yang mencari pilihan makan yang berkualiti dan mesra halal," katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EXIM Bank Datuk Nurbayu Kasim Chang berkata perjanjian pembiayaan itu, yang dimeterai pada 8 Julai, mencerminkan kejayaan MoU sebelumnya termasuk komitmen bank untuk menyokong pertumbuhan Marrybrown di Australia. 

"EXIM Bank agak teruja dapat membantu jenama Malaysia berkembang secara global melalui penyelesaian kewangan strategiknya," kata beliau.

Ditubuhkan pada 1981 di Johor Bahru, Marrybrown kini mempunyai sekitar 500 cawangan di 16 negara dan telah memperoleh lebih daripada 100 pengiktirafan susulan pencapaiannya dalam francais dan inovasi.

Dengan wawasan jelas ke arah menubuhkan 50 cawangan di seluruh Australia menjelang 2030, jenama itu kini bersedia untuk berkembang merentasi Victoria ke Queensland serta kawasan lain, dan EXIM Bank tetap teguh dalam sokongannya untuk pengembangan antarabangsa Marrybrown.

Sementara itu, Pengarah Marrybrown Australia Lim Soon Nian berkata syarikat itu mengalami pertumbuhan pesat di Australia, dan sokongan EXIM Bank telah memainkan peranan penting dalam mempercepatkan pengembangan Marrybrown.

"Kerjasama ini bukan sahaja akan menguatkan jejak global kami tetapi juga mempamerkan kekuatan model francais halal Malaysia," katanya.

Menurut kenyataan itu, inisiatif ini mencerminkan misi EXIM Bank yang lebih luas bagi menyokong pengantarabangsaan jenama Malaysia, dengan tumpuan kepada ekonomi halal, sektor yang mempunyai potensi global yang besar, bersedia untuk mencapai US$2.17 trilion (US$1 = RM4.23) menjelang 2030.

Eksport halal Malaysia dijangka meningkat kepada RM65 bilion pada 2025, dengan francais halal muncul sebagai pemacu utama.

"Dengan membolehkan pengembangan Marrybrown, EXIM Bank mahu meningkatkan reputasi Malaysia sebagai hab francais halal bertaraf dunia," kata bank berkenaan.

Pada 2024, bank itu telah membantu 144 pengeksport Malaysia, dengan jumlah sokongan kewangan berjumlah RM3.1 bilion melalui kredit takaful dan pembiayaan perniagaan.

-- BERNAMA