BERITA TERKINI   Syarikat berpangkalan di Singapura telah melabur lebih S$5.5 bilion ke Johor sejak pemeteraian MoU JS-SEZ -- TPM Singapura Gan | Kerajaan menimbang meningkatkan Dana Pembangunan Perniagaan Malaysia-Singapura bagi membantu lebih banyak PKS mendapat peluang perniagaan rentas sempadan – Tengku Zafrul | Semua projek pembuatan bagi industri tidak sensitif dalam sektor ekonomi yang dikenal pasti di JS-SEZ akan diberikan kelulusan pantas untuk Lesen Pengilangan (ML) dalam tempoh 7 hari bekerja - Tengku Zafrul | Tambahan RM200 juta yang diperuntukkan kepada CoSIF di bawah Belanjawan 2026 membolehkan pelaburan bersama dalam projek berimpak tinggi oleh PKS Malaysia di JS-SEZ - Tengku Zafrul | Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan pastikan kes pelajar perempuan Tingkatan Empat yang maut ditikam disiasat secara telus dan adil - Fadhlina  | 

MAG Tambah 20 Pesawat A330neo Perkukuh Pertumbuhan Rangkaian

KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Malaysia Aviation Group (MAG), syarikat induk bagi syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines telah melaksanakan hak pembeliannya membeli tambahan 20 pesawat A330neo melalui pesanan terus dengan Airbus.

MAG dalam satu kenyataan hari ini berkata pembelian itu mencerminkan komitmennya terhadap strategi jangka panjang yang tertumpu pada pembaharuan kumpulan pesawat dan pembangunan rangkaian.

“Dengan pembelian terbaru ini, Malaysia Airlines bakal menjadi salah satu pengendali A330neo terbesar di rantau Asia Pasifik, mengukuhkan kedudukannya sebagai syarikat penerbangan premium terkemuka di satu daripada pasaran pelancongan yang paling pantas berkembang di dunia.

“Pesanan baharu ini berdasarkan komitmen awal MAG pada 2022 bagi 20 pesawat A330neo – terdiri daripada 10 pesawat yang dibeli terus dan 10 yang dipajak daripada Avolon – menambahkan jumlah pesawat A330neo kumpulan kepada 40 pesawat setakat ini,” katanya.

Syarikat itu berkata penghantaran daripada pesanan tambahan ini dijadualkan antara 2029 dan 2031.

Pengarah Urusan Kumpulan MAG Datuk Kapten Izham Ismail berkata pesawat A330neo menyediakan keseimbangan kecekapan operasi dan keselesaan kabin untuk menyokong rangkaian dan strategi pertumbuhan syarikat.

“Dengan kecekapan bahan api yang dipertingkat dan fleksibilitinya merentas laluan serantau dan jarak jauh, pesawat itu sangat sesuai untuk keperluan pasaran kami yang sedang berkembang.

“Pesanan tambahan ini mengukuhkan visi jangka panjang kami untuk membina kumpulan pesawat bagi menampung keperluan masa depan yang menyokong pertumbuhan mampan, memberikan nilai konsisten kepada penumpang kami, dan mengukuhkan daya saing kami dalam pasaran utama,” katanya.

-- BERNAMA