Bursa Malaysia Dijangka Diniagakan Dalam Dagangan Kecil Minggu Depan
Oleh Zarul Effendi Razali dan Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia dijangka diniagakan dalam dagangan berhati-hati minggu depan dengan tarikh akhir perjanjian tarif Amerika Syarikat (AS) pada 9 Julai menjadi tumpuan utama pasaran, kata para penganalisis.
Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng menjangkakan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) diniagakan dalam jajaran 1,530-1,560 mata, mewakili tahap sokongan dan rintangannya.
"Indeks petunjuk pasaran telah keluar daripada fasa penstabilannya dengan jumlah dagangan yang tinggi dan bergerak ke arah aliran yang lebih kukuh," katanya kepada Bernama.
Ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan pula berkata bursa tempatan dijangka lebih lebih berhati-hati dengan keadaan turun naik sekali-sekala ketika para pelabur memantau rapat perkembangan landskap dasar perdagangan global.
“Perhatian terutamanya tertumpu pada tarikh akhir penangguhan tarif AS pada 9 Julai, apabila tarif yang dinaikkan - antara 20 hingga 30 peratus- dijangka dikekalkan ke atas negara tanpa perjanjian perdagangan dua hala yang rasmi.
"Malaysia, antara lain, mungkin terus berdepan ketidakpastian sekiranya rundingan masih belum dapat diselesaikan. Presiden AS Donald Trump menyatakan pemberitahuan rasmi mengenai kadar tarif baharu akan dikeluarkan tidak lama lagi kepada rakan perdagangan yang terbabit," katanya.
Bagi asas mingguan, indeks petunjuk pasaran meningkat 22.03 mata kepada 1,550.19 daripada 1,528.16 pada minggu sebelumnya. Indeks FBM Emas meningkat 218.92 mata kepada 11,617.72, Indeks FBMT 100 naik 209.34 mata kepada 11,390.70, dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 276.69 mata kepada 11,617.82.
Indeks FBM 70 meningkat 516.38 mata kepada 16,787.04 manakala Indeks FBM ACE menokok 51.64 mata kepada 4,526.40.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 54.12 mata kepada 17,791.22, Indeks Perladangan melonjak 119.72 mata kepada 7,448.74, dan Indeks Tenaga naik 8.93 mata kepada 741.61.
Jumlah dagangan bagi minggu ini meningkat kepada 17.25 bilion unit bernilai RM12.62 bilion daripada 11.68 bilion unit bernilai RM8.45 bilion pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran Utama menokok kepada 9.22 bilion unit bernilai RM11.41 bilion daripada 5.40 bilion unit bernilai RM7.39 bilion.
Jumlah dagangan waran menambah kepada 6.62 bilion unit bernilai RM772.30 juta daripada 4.96 bilion unit bernilai RM655.61 juta.
Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 1.40 bilion unit bernilai RM437.52 juta daripada 1.07 bilion unit bernilai RM399.48 juta pada minggu sebelumnya.
-- BERNAMA