SuperSiC Adakan Majlis Pecah Tanah Kemudahan Semikonduktor Baharu Di Pulau Pinang
GEORGE TOWN, 4 Julai (Bernama) -- SuperSiC (Malaysia) Sdn Bhd, anak syarikat kepada Zhejiang Jingsheng Mechanical & Electrical Co Ltd (JSG) melakukan majlis pecah tanah bagi kemudahan pembuatan terbaharunya di Pulau Pinang, menandakan satu pencapaian penting dalam strategi pengembangan global syarikat itu.
Dalam satu kenyataan bersama, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), InvestPenang dan SuperSiC berkata kemudahan itu menzahirkan komitmen JSG dalam memajukan strategi globalisasinya dan mewujudkan hab serantau utama untuk menyokong pasaran Asia Tenggara.
Mereka berkata ekosistem semikonduktor Pulau Pinang yang matang, lokasi geografi yang strategik dan kumpulan bakat yang banyak menyediakan persekitaran yang ideal untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan pengeluaran bahan semikonduktor kompaun, di samping meletakkan syarikat untuk memberikan perkhidmatan pelanggan yang cekap, tangkas dan responsif yang tinggi.
“Projek ini akan meliputi kawasan seluas 40,000 meter persegi dan dijangka memulakan pembinaan dalam tahun ini.
“Setelah Fasa 1 siap, kemudahan ini dijangka mencapai kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 240,000 wafer silikon karbida lapan inci, sekali gus meningkatkan dengan ketara keupayaan bekalan global JSG,” menurut kenyataan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata majlis pecah tanah SuperSiC menandakan detik transformasi dalam landskap industri semikonduktor Malaysia.
Beliau berkata pelaburan itu menunjukkan perkongsian ekonomi yang mendalam antara China dan Malaysia, sambil menonjolkan kedudukan Malaysia yang semakin penting dalam bidang pembuatan teknologi tinggi global.
Beliau berkata kemudahan itu sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 negara, Pelan Hala Tuju Industri Kimia (CIR) 2030 dan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) 2030, sekali gus memajukan kedudukan Malaysia dalam pengeluaran semikonduktor kompleks dan inovasi teknologi bernilai tinggi.
“MIDA sangat menghargai pelaburan ini kerana ia menangani jurang kritikal dalam ekosistem semikonduktor kita — iaitu fabrikasi wafer termaju.
“Projek ini akan berfungsi sebagai pemangkin, menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor penting ini serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pembuatan termaju utama di Asia. Dengan komitmen SuperSiC ini, kita sedang mewujudkan batu asas bagi masa depan teknologi Malaysia,” tambah beliau.
-- BERNAMA