OCBC Malaysia Dinamakan Sebagai Bank PKS Terbaik Oleh Alpha Southeast Asia Dan Finance Asia
KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- OCBC Malaysia telah dinamakan sebagai bank perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terbaik oleh Alpha Southeast Asia dan bank komersial terbaik untuk PKS oleh Finance Asia untuk tahun kedua berturut-turut.
Bank itu berkata anugerah itu mengiktiraf tawaran inovatif dan peningkatan digitalnya yang direka untuk membantu PKS beroperasi dengan lebih cekap.
Pengarah Urusan dan Ketua Perniagaan Baharu OCBC Malaysia Chan Kok Leong berkata bank itu mengekalkan tumpuan yang kukuh terhadap inovasi digital dan kemudahan optimum untuk pelanggan PKS.
“Anugerah ini juga mencerminkan keyakinan pelanggan kami terhadap penyelesaian perbankan perniagaan inovatif kami dan komitmen untuk menyokong mereka dalam usaha domestik dan antarabangsa mereka.
“Mengambil pendekatan mengutamakan pelanggan kami, OCBC berharap dapat menyediakan lebih banyak penyelesaian termaju untuk membantu pelanggan PKS kami berkembang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Antara inisiatif utama yang menyumbang kepada anugerah itu ialah sokongan OCBC terhadap lebih 100 perusahaan berpangkalan di China beroperasi dalam sektor makanan dan minuman Malaysia tahun lepas.
Selain itu, OCBC berkata ia mempelopori proses onboarding digital yang mantap, membolehkan pelanggan menjalankan urus niaga lebih pantas dan beroperasi dengan lancar dalam persekitaran digital.
OCBC berkata ia telah melaksanakan sistem pemprosesan terus, menghasilkan peningkatan 90 peratus dalam pembukaan akaun digital dalam tumpuan untuk memberikan kemudahan kepada PKS,
-- BERNAMA