BERITA TERKINI   MOT laksana larangan pemanduan kenderaan barangan dan logistik mulai 19, 20, 28 dan 29 Mac sempena Aidilfitri | Harga minyak mentah global kini melebihi US$100 setong, Kerajaan kekal RON95 bersubsidi RM1.99 seliter - Kementerian Kewangan | Gas Malaysia akan bangunkan terminal LNG Yan selepas kelulusan Suruhanjaya Tenaga | Ringgit meningkat kepada 3.9145/9205 berbanding dolar AS semasa ditutup hari ini, daripada 3.9155/9200 pada Selasa | Kehadiran dua kapal Tentera Laut Amerika Syarikat di Pulau Pinang adalah persinggahan sementara bagi urusan logistik- Khaled Nordin | 

Anwar, Carney Harap Rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Kanada Dimuktamadkan

KUALA LUMPUR, Julai 4 (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Kanada Mark Carney berharap rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Kanada dapat dimuktamadkan secepat mungkin demi manfaat bersama.

Anwar yang juga Menteri Kewangan dalam hantaran di platform X hari ini berkata beliau dan Carney menerusi panggilan telefon, menegaskan kepentingan memperkukuh Perkongsian Strategik ASEAN-Kanada.

Perdana Menteri ketika ini mengadakan lawatan rasmi ke Paris turut mengucapkan tahniah kepada Carney atas kemenangan Parti Liberal dalam Pilihan Raya Kanada baru-baru ini.

“Malaysia dan Kanada, sebagai anggota Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), berkongsi tekad dalam memperjuangkan prinsip perdagangan bebas, terbuka dan berasaskan multilateralisme yang adil serta inklusif.

"Malaysia kekal komited untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan Kanada, merangkumi pelbagai bidang strategik seperti perdagangan dan pelaburan, kerjasama pertahanan, tenaga bersih, transformasi digital serta teknologi baharu," katanya.

Selain itu, Anwar turut menyambut baik penglibatan berterusan PETRONAS dalam projek gas asli cecair (LNG) Canada.

"Ini merupakan simbol kukuh kerjasama tenaga antara kedua-dua negara dan berpotensi menjadi pemangkin kepada inisiatif hijau dan peralihan tenaga masa depan," katanya.

Dalam pada itu, perdana menteri menjemput Carney untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia dalam masa terdekat bagi memperkukuh ikatan persahabatan antara kedua-dua negara.

-- BERNAMA