BERITA TERKINI   Tiga lebuh raya, 15 jalan utama di KL terlibat lencongan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 bermula 8-12 Julai ini - Polis | 

Takaful IKHLAS Lancar ‘IKHLAS Impianku’, Produk Bantu Rakyat Capai Impian Kewangan

PUTRAJAYA, 3 Julai (Bernama) -- Takaful Ikhlas Family Bhd (Takaful IKHLAS), anak syarikat MNRB Holdings Bhd, hari ini melancarkan produk terbaharunya IKHLAS Impianku.

Ketua Pegawai Eksekutif Takaful IKHLAS Wan Ahmad Najib Wan Ahmad Lotfi berkata produk tersebut dibangunkan bagi membantu orang ramai merancang kewangan dengan lebih baik sambil menikmati perlindungan takaful yang optimum.

Beliau berkata produk itu menampilkan manfaat pembayaran tunai berjadual setiap dua tahun sepanjang tempoh perlindungan dan jumlahnya boleh mencecah sehingga 30 peratus daripada amaun yang dilaburkan berdasarkan tempoh simpanan.

"Produk IKHLAS Impianku ini direka untuk menyuntik semangat dan memberi keyakinan kepada masyarakat di Malaysia untuk terus mengejar dan merealisasikan impian kewangan mereka yang mungkin sukar dicapai akibat faktor-faktor yang tidak dapat dielakkan seperti kos sara hidup, kestabilan ekonomi dan lain-lain.

“Dengan produk ini, peserta boleh merancang untuk menjadikan impian kewangan mereka satu realiti dengan tabiat menyimpan secara berdisiplin melalui pelan simpanan takaful yang fleksibel,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan produk tersebut sempena siri jelajah IKHLAS Active Zone di sini hari ini.

Wan Ahmad Najib berkata produk berkenaan ditawarkan menerusi tiga variasi pelan iaitu bayaran selama lima tahun untuk perlindungan 20 tahun, bayaran 10 tahun untuk perlindungan 25 tahun dan bayaran 20 tahun untuk perlindungan 30 tahun.

“Setiap dua tahun akan ada pulangan yang kami jamin, kalau simpan lebih akan dapat (pulangan) lebih banyak,” katanya.

Selain itu, IKHLAS Impianku turut menawarkan manfaat kematian tambahan sebanyak 100 peratus daripada Amaun Perlindungan Asas sekiranya peserta meninggal dunia akibat kemalangan.

Wan Ahmad Najib turut menekankan kepentingan untuk rakyat Malaysia memiliki perlindungan takaful bagi melindungi kelangsungan kewangan sekiranya berlaku musibah atau cabaran yang tidak dijangka.

“Rakyat Malaysia masih kurang yang memiliki perlindungan takaful, lebih kurang separuh daripada mereka tidak mempunyai perlindungan,” katanya.

“Kami sedar bahawa agak sukar untuk menabung dan pada masa sama mendapatkan perlindungan takaful ini sangat penting, tetapi hanya melalui produk takaful, kita mempunyai perlindungan yang besar yang boleh tinggal kalau apa-apa musibah berlaku,” katanya.

Bersempena pelancaran produk itu, Takaful IKHLAS mengumumkan Peraduan Cabutan Rezeki IKHLAS Impianku, yang menawarkan peluang kepada pelanggan yang mendaftar sebelum 1 Okt untuk memenangi percutian ke London, Taiwan atau pakej Umrah yang ditaja sepenuhnya.

Takaful IKHLAS hari ini turut menyampaikan Anugerah Lestari Cemerlang IKHLAS Impianku dan sumbangan tunai RM1,000 kepada 10 pelajar terbaik Sekolah Menengah Kebangsaan Ungku Aziz, Sabak Bernam, yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.

Orang ramai yang berminat untuk mendaftar pelan IKHLAS Impianku boleh mendapatkan maklumat lanjut dan khidmat nasihat daripada Wakil Perunding Takaful Keluarga Takaful IKHLAS di seluruh negara atau mengunjungi karnival IKHLAS Active Zone yang berlangsung di IOI City Mall hingga 6 Julai ini.

Karnival tersebut turut menawarkan pelbagai aktiviti gaya hidup sihat untuk seisi keluarga termasuk pertandingan mewarna, cabaran kecergasan, permainan video interaktif serta pertemuan dengan watak animasi popular Didi & Friends.

Maklumat lanjut juga boleh diperoleh melalui laman sosial rasmi Takaful IKHLAS atau laman web www.takaful-ikhlas.com.

-- BERNAMA