Ringgit Rendah Berbanding Dolar AS, Pelabur Beralih Kepada Aset Selamat
Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Ringgit rendah pada Isnin berikutan peserta pasaran terus beralih kepada aset selamat dalam situasi ketidaktentuan berkaitan impak daripada konflik berterusan di Asia Barat, yang kini telah berlanjutan lebih sebulan.
Pada 8 pagi, mata wang tempatan menurun kepada 4.0125/4.0305 berbanding dolar AS daripada 4.0105/0140 dicatatkan pada Jumaat lepas.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pasaran pertukaran asing dijangka berada dalam fasa mengelak risiko berikutan ketidaktentuan akibat impak perang Amerika Syarikat (AS)-Iran terus menjejaskan sentimen pasaran.
Beliau berkata Indeks Dolar AS (DXY) naik kepada 100.328 mata, menunjukkan bahawa peniaga dan pelabur beralih kepada dolar AS.
Pada masa yang sama, pengurus dana bon global seperti PIMCO dan JP Morgan telah mengingatkan bahawa harga bon akan meningkat berikutan konflik tersebut boleh membawa kepada pertumbuhan yang lebih perlahan.
“Bank pusat mungkin perlu menurunkan kadar faedah berdasarkan jangkaan tersebut. Oleh itu, ringgit dijangka kekal melebihi paras RM4.00 berikutan pendekatan mengelak risiko,” katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata pada minggu ini, pasaran akan memantau data pasaran buruh AS mengenai senarai gaji bukan ladang (NFP) pada Jumaat.
NFP Februari merosot 92,000, dengan konsensus mengunjurkan 56,000 pekerjaan akan diwujudkan dalam data akan datang.
Beliau berkata petunjuk data pasaran buruh AS lemah semakin jelas.
“Ini terutamanya apabila harga petrol meningkat dengan ketara berikutan perang di Iran yang membawa kepada sentimen perniagaan dan pengguna yang lemah.
“Peniaga dan pelabur sedang mencari petunjuk mengenai impak perang di Iran dan bagaimana ia akan diterjemahkan kepada keputusan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada masa depan,” katanya.
Sementara itu, ringgit meningkat berbanding pound kepada 5.3101/3340 daripada 5.3368/3414 pada Jumaat lepas, naik berbanding euro kepada 4.6108/6314 daripada 4.6197/6237 dan menokok berbanding yen Jepun kepada 2.5044/5158 daripada 2.5084/5109 sebelum ini.
Berbanding mata wang ASEAN, ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1100/1244 daripada 3.1164/1194 pada Jumaat lepas dan naik berbanding baht Thailand kepada 12.1624/2255 daripada 12.1903/2077 sebelum ini.
Bagaimanapun, mata wang tempatan merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 236.3/237.4 daripada 236.1/236.5 dan mendatar berbanding peso Filipina kepada 6.62/6.66 daripada 6.62/6.63 sebelum ini.
-- BERNAMA