China Harap Dapat Bekerjasama Dengan Semua Pihak Bagi Perkukuh Kerjasama BRICS
Daripada Kisho Kumari Sucedaram
BEIJING, 3 Julai (Bernama) -- China berhasrat dapat bekerjasama dengan semua pihak bagi memperkukuh kerjasama strategik BRICS selain menyumbang secara sewajarnya dalam mempertahankan pendekatan kerjasama pelbagai negara.
Selain itu, kerjasama ini dapat menggalakkan pembangunan bersama serta menambah baik tadbir urus global selain memajukan pembangunan berkualiti tinggi bagi kerjasama BRICS yang lebih meluas.
Menurut Jurucakap Kementerian Luar China Mao Ning negara-negara BRICS menyediakan platform penting bagi memperkukuh perpaduan dan kerjasama dalam kalangan negara Selatan Global.
“Mereka merupakan pemain penting dalam menggalakkan pembaharuan sistem tadbir urus global dan komited dalam mempertahankan pendekatan kerjasama pelbagai negara, menegakkan keadilan serta kesaksamaan selain menggalakkan pembangunan bersama,” katanya dalam satu kenyataan.
Mao berkata China amat mementingkan dan akan terus mengambil bahagian secara aktif dalam kerjasama BRICS.
“Kami bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak bagi menegakkan semangat keterbukaan, keterangkuman dan kerjasama yang menguntungkan semua selain terus berpegang kepada hasrat asal iaitu untuk mencari kekuatan melalui perpaduan dan mencapai pembangunan bersama.
“Kami juga menyokong Brazil selaku Pengerusi BRICS untuk menjayakan sidang kemuncak sepenuhnya serta memajukan pembangunan berkualiti tinggi bagi kerjasama BRICS yang lebih meluas,” katanya.
Beliau turut berkata, mekanisme kerjasama BRICS merupakan platform paling penting bagi perpaduan dan kerjasama antara negara membangun di seluruh dunia.
“Ia merupakan satu kuasa penting dalam merealisasikan dunia tanpa mendominasi sistem antarabangsa (multipolar) yang seimbang dan teratur serta globalisasi ekonomi yang bermanfaat untuk semua dan bersifat terangkum,” katanya.
Sidang Kemuncak BRICS akan diadakan di Rio de Janeiro pada 6 hingga 7 Julai dan Brazil merupakan Pengerusi BRICS pada tahun ini.
Kementerian Luar China turut mengumumkan Perdana Menterinya Li Qiang akan menghadiri Sidang Kemuncak BRICS ke-17.
BRICS merupakan sebuah pertubuhan antara negara yang ditubuhkan pada 2006 oleh Brazil, Rusia, India dan China iaitu sebuah blok yang secara kolektif menyumbang satu perlima daripada perdagangan global.
Afrika Selatan menyertai BRICS pada 2011. Sejak awal 2024, beberapa negara lain turut menyertai BRICS.
Malaysia diiktiraf sebagai satu daripada 13 negara yang secara rasmi ditambah sebagai negara rakan kepada BRICS pada Oktober tahun lepas.
Selain Malaysia, 12 negara lain yang turut disenaraikan iaitu Algeria, Belarus, Bolivia, Cuba, Indonesia, Kazakhstan, Nigeria, Thailand, Turki, Uganda, Uzbekistan dan Vietnam.
-- BERNAMA