Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi Dipacu Pembelian Dari India

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatif meningkat ketika mengakhiri dagangan hari ini, disokong peningkatan pembelian dari India.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata kelebihan harga minyak sawit berbanding minyak kacang soya, telah mendorong pengimport India meningkatkan pembelian mereka.

“Apabila harga minyak kacang soya meningkat pada sesi urus niaga Asia, ini hanya menarik minat terhadap minyak sawit, sekali gus mendorong kenaikan harganya.

“Sehubungan itu, kami menjangkakan paras sokongan pada RM3,950 satu tan manakala rintangan pada  RM4,150,” katanya kepada Bernama.

Pada akhir dagangan hari ini, kontrak bulan semasa Julai 2025 menokok RM92 kepada RM4,034 satu tan, Ogos 2025 meraih RM92 kepada RM4,055 satu tan manakala September 2025 melonjak RM94 kepada RM4,062 satu tan.

Kontrak Oktober 2025 naik RM90 kepada RM4,063 satu tan, November 2025 meraih RM88 kepada RM4,065 satu tan manakala Disember 2025 meningkat RM81 kepada RM4,074 satu tan.

Jumlah dagangan bertambah kepada 64,163 lot daripada 54,076 lot pada Selasa manakala kepentingan terbuka menguncup kepada 224,873 kontrak daripada 269,214, sebelum ini.

Harga MSM fizikal untuk Julai Selatan naik RM70 kepada RM4,050 satu tan.

-- BERNAMA