Belian Saham Teknologi, Berkaitan Petronas Dorong FBM KLCI Ditutup Paras Tertinggi Harian
Oleh Zarul Effendi Razali
KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Momentum belian yang berterusan, kebanyakannya dalam saham teknologi terpilih dan berkaitan Petronas mendorong FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mencatatkan paras tertinggi harian dan ditutup tinggi hari ini, meneruskan peningkatan untuk lima sesi dagangan berturut-turut, kata seorang penganalisis.
Saham Malaysian Pacific Industries dan Petronas Dagangan muncul antara dua kaunter paling untung, masing-masing naik RM1.00 kepada RM22.40 dan 44 sen kepada RM21.70.
Pada 5 petang, FBM KLCI menokok 8.68 mata, atau 0.56 peratus, kepada 1,550.21 daripada 1,541.53 ketika ditutup pada Selasa.
Indeks penanda aras itu dibuka 1.8 mata lebih rendah pada 1,539.73 dan kemudiannya menyusut kepada paras terendah 1,539.18 pada awal sesi dagangan.
Secara keseluruhannya, pasaran lebih positif dengan 531 kaunter untung mengatasi 442 kaunter rugi, manakala 498 kaunter tidak berubah, 920 tidak diniagakan dan 14 digantung.
Jumlah dagangan naik kepada 3.11 bilion unit bernilai RM2.38 bilion berbanding 2.05 bilion unit bernilai RM2.15 bilion pada Selasa.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks serantau utama ditutup bercampur-campur apabila pelabur mencerna kenyataan terbaharu Pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) Jerome Powell yang menyatakan kadar faedah berkemungkinan telah diturunkan jika bukan kerana dasar tarif Presiden Donald Trump.
“Selain itu, terdapat spekulasi dalam kalangan pelabur mengenai kemungkinan perjanjian antara AS dan Jepun, meskipun Trump sekali lagi mengulangi ancaman tarif 30-35 peratus ke atas produk Jepun,” katanya kepada Bernama.
Bagi pasaran domestik, beliau berkata indeks penanda aras kekal kukuh, disokong oleh aliran masuk bersih asing yang berterusan serta minat berterusan dalam kaunter berwajaran tinggi.
“Dengan asas teknikal yang mantap di atas paras 1,530, kami menyemak naik sasaran mingguan kepada 1,530-1,560, menjangkakan indeks akan kekal stabil dalam julat ini selagi tiada perkembangan di luar jangkaan,” katanya.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank menambah 4.0 sen kepada RM9.76, Public Bank naik 6.0 sen kepada RM4.32, CIMB dan IHH Healthcare masing-masing meningkat 3.0 sen kepada RM6.78 dan RM6.83, manakala Tenaga Nasional susut 30 sen kepada RM14.60.
Bagi saham paling aktif, ASM Automation susut setengah sen kepada 16.5 sen, Tanco dan Compugates kekal tidak berubah masing-masing pada 89 sen dan 1.5 sen, manakala YTL Corp menokok 8.0 sen kepada RM2.45.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 57.5 mata kepada 11,582.09, Indeks FBMT 100 naik 56.95 mata kepada 11, 360.77, manakala Indeks FBM Emas Syariah menokok 38.42 mata kepada 11,599.83.
Indeks FBM 70 menambah 53.87 mata kepada 16,611.24, sementara Indeks FBM ACE susut 12.92 mata kepada 4,479.09.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 104.12 mata kepada 17,708.76, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.17 mata kepada 154.47, Indeks Perladangan berkurangan 6.2 mata kepada 7,395.96, dan Indeks Tenaga meningkat 5.63 mata kepada 747.17.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama merosot kepada 1.27 bilion unit bernilai RM2.09 bilion, berbanding 1.40 bilion unit bernilai RM2.02 bilion pada Selasa.
Dagangan waran melonjak kepada 1.55 bilion unit bernilai RM198.51 juta, berbanding 426 juta unit bernilai RM45.13 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE pula meningkat kepada 283.75 juta unit bernilai RM87.58 juta, berbanding 224.45 juta unit bernilai RM83.02 juta semalam.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 208.81 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, diikuti produk dan perkhidmatan perindustrian (206.02 juta), pembinaan (101.61 juta), teknologi (140.18 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (71.67 juta), hartanah (245.04 juta), perladangan (16.31 juta), REIT (16.29 juta), dana tertutup (4,000), tenaga (69.77 juta), penjagaan kesihatan (56.63 juta), telekomunikasi dan media (45.36 juta), pengangkutan dan logistik (24.23 juta), utiliti (68.02 juta) serta amanah perniagaan (18,000).
-- BERNAMA