BERITA TERKINI   Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn tiba di Malaysia pada Selasa untuk hadiri AMM ke-58 | Mayat enam beranak yang dipercayai hilang semalam ditemukan di Sungai Korok, Jitra pagi ini - Bomba | Kenanga Investment Bank lancar dua waran berstruktur di Bursa Malaysia hari ini, menawarkan pendedahan kepada indeks teknologi Hang Seng Hong Kong dan indeks perusahaan China | Sarawak bentang RUU Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025, tambah bilangan ADUN daripada 82 ke 99 | 

SC Pelawa Orang Ramai Beri Maklum Balas Mengenai Cadangan Tambah Baik DAX

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah menerbitkan kertas perundingan bagi mendapatkan maklum balas orang ramai mengenai cadangan penambahbaikan terhadap rangka kerja kawal selianya untuk pertukaran aset digital (DAX).

Tempoh perundingan awam itu bermula hari ini hingga 11 Ogos, 2025.

Dalam satu kenyataan hari ini, SC berkata ia mengalu-alukan maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan, termasuk pengeluar aset digital, bakal dan pengendali DAX terkawal sedia ada, institusi kewangan, peserta pasaran modal dan pihak lain yang berminat seperti persatuan industri, profesional perundangan dan pematuhan.

Cadangan ini bertujuan meningkatkan daya saing pasaran aset digital terkawal Malaysia, meningkatkan perlindungan pelabur dan mengukuhkan daya tahan serta integriti pengendali DAX. 

“Dengan menawarkan pelbagai jenis aset digital dan perkhidmatan merentasi pasaran modal, SC turut menyaksikan pertumbuhan minat daripada pengantara pasaran modal konvensional dan pelabur institusi yang ingin mengambil bahagian dalam ruang aset digital,” katanya.

SC berkata, ia sama ada menerusi pelaburan langsung dalam aset digital atau secara tidak langsung melalui dana pelaburan.

Menurut SC, DAX memainkan peranan penting dalam membolehkan capaian yang bertanggungjawab kepada pelaburan aset digital, dalam persekitaran terkawal yang menggalakkan pasaran yang adil, telus dan teratur.

Katanya, kertas perundingan itu meliputi bidang seperti liberalisasi rangka kerja bagi penyenaraian aset digital pada DAX, tertakluk kepada memenuhi kriteria minimum tertentu.

“SC bercadang untuk menamatkan keperluan persetujuan langsungnya bagi penyenaraian aset digital tertentu pada DAX, tertakluk untuk memenuhi kriteria minimum tertentu. Ia bertujuan mempercepatkan masa ke pasaran, meningkatkan kebertanggungjawapan pengendali DAX dan meluaskan penawaran produk,” katanya.

Selain itu, kertas tersebut juga meningkatkan keperluan berkaitan untuk melindungi aset dan tadbir urus pelanggan.

“Pengendali DAX akan tertakluk kepada keperluan kawalan tadbir urus operasi dan kawalan yang dipertingkatkan, termasuk keperluan berkaitan dengan pengasingan aset pelanggan.

“Ia bagi memastikan tadbir urus dan amalan operasi DAX sepadan dengan risiko yang berkaitan dengan operasi mereka,” katanya.

Ia turut melibatkan usaha untuk meningkatkan keperluan untuk pengendali DAX.

“Pengendali DAX perlu memenuhi kriteria kewangan minimum tertentu bagi memastikan integriti dan daya tahan kewangan dan operasi yang lebih kukuh, selain mekanisme perlindungan pelabur yang teguh.

“Ia bertujuan memupuk keyakinan dalam kalangan peserta pasaran modal untuk berdagang menerusi atau dengan DAX terkawal,” katanya.

Sejak rangka kerja DAX diperkenalkan pada 2019, SC telah menyaksikan pertumbuhan yang stabil dalam industri aset digital di Malaysia dengan tahun 2024 mencatatkan jumlah nilai dagangan tertinggi sebanyak RM13.9 bilion, iaitu meningkat 2.6 kali ganda berbanding 2023.

Kertas perundingan itu boleh didapati secara dalam talian di https://www.sc.com.my/regulation/consultation-papers. Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi SC di aFINity@seccom.com.my.

-- BERNAMA