BERITA TERKINI   Bekas Mufti Johor Datuk Dr Nooh Gadot diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1447H/2025M | Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfig Fawzan Muhammed Al-Rabiah diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa 1447H/2025M | Pentas dakwah medan pengajaran agama Islam tidak wajar dijadikan tempat membawa agenda politik kepartian - Agong | Pemimpin masyarakat dinasihatkan agar tidak mempolitikkan agama Islam untuk kepentingan peribadi - Agong | Agong titah semua pihak hormati Perlembagaan Persekutuan, jangan nyalakan api permusuhan hingga gugat keamanan negara | 

Gamuda Catat Keuntungan Bersih Tinggi Pada Suku Ketiga, Isytihar Dividen 10 Sen

 

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Gamuda Bhd mencatatkan keuntungan bersih tinggi sebanyak RM671 juta pada suku ketiga berakhir 30 April, 2025, meningkat lima peratus tahun ke tahun, dipacu oleh prestasi kukuh dalam projek pembinaan domestiknya.

“Jualan hartanah meningkat 10 peratus kepada RM2.6 bilion berbanding RM2.3 bilion tahun lepas, disumbang terutamanya oleh beberapa projek pemulihan pantas (QTP) di Vietnam,” kata kumpulan kejuruteraan dan pembinaan itu menerusi satu kenyataan hari ini.

Semasa tempoh yang sama, perolehan Gamuda meningkat sebanyak 14 peratus kepada RM11.5 bilion daripada RM10 bilion yang dicatatkan tahun lepas.

Pendapatan suku tahunan kumpulan itu meningkat lima peratus kepada RM247 juta, juga disumbang daripada pembinaan domestiknya, dengan pendapatan meningkat tiga kali ganda kepada RM104 juta berbanding suku yang sama tahun lepas.

Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak lima sen sesaham, menjadikan dividen setakat ini bagi tahun ini sebanyak 10 sen sesaham, yang mana merupakan kenaikan 25 peratus daripada lapan sen tahun sebelumnya (diselaraskan selepas terbitan saham bonus 1:1).

Gamuda berkata operasi domestiknya memperoleh momentum, dengan nilai perolehan kontrak menyumbang 41 peratus daripada nilai perolehan kontrak pembinaan sebanyak RM35 bilion.

Perolehan pembinaan dan keuntungan bersih masing-masing meningkat sebanyak empat peratus dan 40 peratus semasa suku tersebut.

Menurutnya, pelaburan pusat data kumpulan juga mula menghasilkan pulangan positif, memberi sumbangan besar kepada pendapatan sebelum cukai bahagian kejuruteraan.

"Perkembangan ini merupakan satu kemajuan penting bagi strategi pengembangan kumpulan yang meletakkan kami di kedudukan baik untuk menampung peningkatan permintaan terhadap infrastruktur digital," katanya.

-- BERNAMA