BERITA TERKINI   Pulau Pinang salur bantuan i-Sejahtera fasa 1/2026 mulai 7 Feb kepada 281,135 penerima, libatkan RM50.93 juta - Chow | Pulau Pinang tetapkan kadar zakat fitrah tahun ini kepada tiga kategori, RM10, RM15 dan RM25 - YDP Majlis Agama Islam Negeri | Syarikat perlu menguruskan risiko mata wang secara giat melalui strategi lindung nilai dan perniagaan yang sesuai - Johari Ghani | SPRM akan siasat mana-mana kes jika terdapat petunjuk baharu, walaupun diklasifikasikan tiada kes sebelum ini - Azam Baki | Penggunaan kamera badan oleh anggota penguatkuasa PBT di Wilayah Persekutuan dilaksanakan secara berfasa bermula suku keempat tahun ini - Hannah | 

Kerajaan Pertimbang Perkenal Skim Insurans Asas Bagi Kurangkan Kesan Inflasi Kos Perubatan - Amir Hamzah

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Kerajaan sedang mempertimbangkan langkah untuk memperkenalkan skim insurans asas bagi mengurangkan kesan inflasi kos perubatan yang membimbangkan rakyat, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata kerajaan telah menubuhkan satu jawatankuasa bersama dengan kerjasama Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia (BNM), Kementerian Kesihatan dan beberapa agensi berkaitan.

“Antara usaha yang kita ada adalah melalui program RESET untuk melihat macam mana kita mahu mewujudkan skim insurans asas untuk rakyat Malaysia.

“Cadangan penubuhan skim berkenaan masih dalam peringkat perbincangan bagi memastikan pelaksanaannya memberikan manfaat dan tidak membebankan mana-mana pihak,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Inisiatif Belanjawan 2025 kendalian Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Bhd (SME Bank) di sini, Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai cadangan kerajaan untuk membenarkan pengeluaran Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tujuan bayaran premium insurans kesihatan.

Amir Hamzah berkata antara pihak yang terlibat dalam pembangunan skim itu ialah pengendali insurans dan takaful (ITO) serta wakil sektor kewangan. 

“Apabila sudah bersedia, kita akan umumkan model pelaksanaannya. Kita juga terbuka kepada sebarang cadangan, termasuk model seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), tetapi keutamaannya adalah membangunkan produk yang benar-benar bersesuaian dengan keperluan rakyat Malaysia,” katanya.

Dalam majlis itu, beliau melancarkan inisiatif strategik bernilai RM211 juta oleh SME Bank yang akan menyokong pertumbuhan mampan dan inklusif segmen perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick, Pengerusi SME Bank Datuk Muslim Hussain serta Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SME Bank Datuk Dr Mohammad Hardee Ibrahim.

-- BERNAMA