BERITA TERKINI   MOT laksana larangan pemanduan kenderaan barangan dan logistik mulai 19, 20, 28 dan 29 Mac sempena Aidilfitri | Harga minyak mentah global kini melebihi US$100 setong, Kerajaan kekal RON95 bersubsidi RM1.99 seliter - Kementerian Kewangan | Gas Malaysia akan bangunkan terminal LNG Yan selepas kelulusan Suruhanjaya Tenaga | Ringgit meningkat kepada 3.9145/9205 berbanding dolar AS semasa ditutup hari ini, daripada 3.9155/9200 pada Selasa | Kehadiran dua kapal Tentera Laut Amerika Syarikat di Pulau Pinang adalah persinggahan sementara bagi urusan logistik- Khaled Nordin | 

Ketegangan Geopolitik Di Timur Tengah Bersifat Jangka Masa Pendek - Amir Hamzah 

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Ketegangan geopolitik berterusan di Timur Tengah memberikan kesan bersifat jangka masa pendek kepada Malaysia, terutama dari segi kestabilan ekonomi, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata krisis semasa yang mengakibatkan beberapa serangan balas di kawasan konflik telah menyebabkan harga minyak mentah melonjak dalam tempoh singkat. 

“Susulan serangan yang berlaku, harga minyak akan naik secara mendadak namun, apabila berlakunya rundingan kita dapat lihat penurunan harga. 

“Jadi, impaknya adalah berjangka masa pendek buat masa ini. Kita faham usaha-usaha untuk mengekalkan keamanan terus ada dan Malaysia terus menyokong usaha untuk mengekalkan keamanan di rantau itu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Inisiatif Belanjawan 2025 kendalian SME Bank di sini, Khamis.

Beliau berkata selain ekonomi, kedamaian sejagat adalah isu paling penting buat masa ini.

Dalam perkembangan berkaitan, harga minyak mentah Brent meningkat lebih tiga peratus minggu lepas sebelum kembali stabil minggu ini susulan laporan awal mengenai rundingan damai oleh beberapa kuasa besar.

Dari segi penyasaran subsidi RON95, Amir Hamzah berkata kerajaan bercadang untuk melaksanakan penyasaran subsidi RON95 pada tahun ini.

“Sekiranya kerajaan mahu melaksanakannya, penyasaran subsidi itu perlu dibuat dengan cara yang baik, seperti diesel sebelum ini yang kita perlu memastikan mekanisme yang kita ada adalah cara yang betul. Buat masa ini, kerajaan masih membuat reka bentuk mekanisme dan akan dibincangkan dalam Kabinet.

“Tapi dari segi dasarnya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kita tidak akan mengenakan tahap yang tinggi. Kami ingin memastikan kebanyakan rakyat tidak akan terkena impak RON95 ini,” katanya. 

-- BERNAMA