BERITA TERKINI   Mulai Oktober 2025, pendaftaran ahli bagi pekerja bukan warganegara Malaysia yang memegang Pas Lawatan Kerja Sementara dan Pas Penggajian akan dilaksanakan secara automatik - KWSP | Dasar kerajaan tegas tidak benarkan minuman keras dihidang dalam acara rasmi - PM Anwar | Jemaah Menteri dan seluruh jentera kerajaan diingatkan agar tidak cuai berhubung isu minuman keras dalam acara kerajaan - PM Anwar | PM Anwar beri amaran keras terhadap MOTAC dan Tiong King Sing berhubung isu arak | Cheeding Holdings Bhd mula disenaraikan di Pasaran ACE pada 72 sen, premium 36 sen berbanding harga IPO, dengan 26.09 juta saham bertukar tangan | 

Bank-bank Akan Mula Laksanakan Cukai Perkhidmatan Terhadap Perkhidmatan Kewangan Mulai 1 Julai Depan

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Anggota Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) akan mula melaksanakan cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan kewangan yang berkaitan secara berperingkat mulai 1 Julai, 2025, mengikut garis panduan dikeluarkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Ini berikutan pewartaan perundangan cukai perkhidmatan baru-baru ini berhubung pengembangan skop cukai perkhidmatan, kata ABM, Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Perbankan Pelaburan Malaysia (MIBA).

Ketiga-tiga persatuan itu berkata, pelaksanaan cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan kewangan akan selaras dengan perundangan dan garis panduan berkaitan yang diwartakan atau dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan dan JKDM.

"Cukai perkhidmatan akan dikenakan pada kadar lapan peratus ke atas perkhidmatan kewangan berasaskan yuran dan komisen.

“Kami memberi jaminan kepada pelanggan bahawa beberapa pengecualian telah diberikan, contohnya perkhidmatan perbankan asas untuk orang ramai termasuk caj semasa dan berkaitan akaun simpanan akan kekal dikecualikan daripada cukai perkhidmatan untuk kedua-dua perkhidmatan perbankan konvensional dan Islam,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, ABM, AIBIM dan MIBA menasihati orang ramai untuk merujuk kepada pengumuman/kenyataan daripada bank masing-masing, ia akan diterbitkan menerusi saluran rasmi bank tersebut.

-- BERNAMA