BERITA TERKINI   53.9 peratus lepasan SPM pilih sektor TVET, hampiri sasaran 70 peratus menjelang akhir RMK13 - TPM Ahmad Zahid | Konflik Kemboja-Thailand: Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN yang dijadual esok, ditangguhkan - PM Anwar | Rundingan sedang dijalankan bagi meredakan ketegangan antara Thailand dan Kemboja – PM Anwar | Penyedia perkhidmatan pesanan Internet, media sosial dengan lapan juta pengguna di Malaysia disifatkan berdaftar bermula 1 Jan 2026 - MCMC | Penguasaan teknologi baharu perlu seiring pemerkasaan jati diri dan warisan budaya tempatan - PM Anwar | 

Presiden Republik Kyrgyz Bertemu Syarikat Malaysia, Bincang Peluang Pelaburan

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Presiden Republic Kyrgyz Sadyr Zhaparov hari ini mengadakan pertemuan dengan beberapa wakil syarikat Malaysia daripada pelbagai sektor untuk meneroka peluang kerjasama perniagaan dan pelaburan antara kedua-dua negara.

Sesi pertemuan yang berlangsung selama lebih sejam itu turut menyaksikan beberapa pertukaran dokumen antara syarikat Malaysia dengan republik itu antara lainnya dalam sektor galian dan penternakan.

Turut hadir ke sesi itu ialah Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong dan Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.  

Pertemuan itu turut disertai wakil daripada agensi seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Halal Development Council (HDC) dan Majlis Perniagaan Malaysia-Kyrgyz.

Antara syarikat Malaysia yang menyertai pertemuan tersebut adalah Citaglobal Bhd, Public Gold, Avia Dinamika Sdn Bhd, Platinum Greenhaven (M) Sdn Bhd dan Kawan Food Bhd.

Presiden Zhaparov tiba di Malaysia semalam sempena lawatan rasmi selama dua hari ke negara ini.

Beliau diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra hari ini diikuti mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Zhaparov kemudiannya melawat Parlimen Malaysia dan meluangkan masa hampir sejam mengadakan pertemuan bersama Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah.

Pada 2024, Republik Kyrgyz merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Tengah dengan jumlah perdagangan dua hala bernilai RM40 juta (US$8.74 juta).

Antara eksport utama Malaysia ke republik berkenaan termasuk produk elektrik dan elektronik, minyak sawit, produk pertanian berasaskan minyak sawit dan jentera, manakala import utama Kyrgyz terdiri daripada bahan kimia dan produk kimia, produk elektrik dan elektronik serta makanan diproses.

-- BERNAMA