BERITA TERKINI   Syarikat pengendali kenderaan barangan dan bas ekspres diberi tempoh 14 hari mulai hari ini untuk selesaikan semua saman tertunggak -- Loke | MOT gesa semua syarikat pengendali kenderaan barangan dan bas ekspres amal budaya utamakan keselamatan -- Loke | Pelaburan langsung asing Malaysia mencatat aliran masuk bersih berjumlah RM51.5 bilion pada 2024, meningkat daripada RM38.6 bilion pada 2023 -- DOSM | 

Kestabilan Politik Dan Visi Jangka Panjang Di Sarawak Hasilkan Pembangunan Konsisten - CILT

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 25 Jun (Bernama) -- Walaupun berkongsi geografi dan aspirasi ekonomi sama, Sarawak dan Sabah telah mengambil langkah sangat berbeza dalam pembangunan infrastruktur.

Bekas Presiden Institut Logistik dan Pengangkutan Bertauliah (CILT) Malaysia dan Naib Presiden CILT International untuk Asia Tenggara, Datuk Dr Ramli Amir berkata Sarawak telah muncul sebagai model berdikari (atas usaha sendiri), membiayai projek infrastruktur berskala besar secara bebas.

Pada masa sama, Sabah pula masih sangat bergantung kepada peruntukan persekutuan, mengakibatkan kelewatan pembangunan dan aktiviti logistik tidak teratur.

“Sepanjang dekad lepas, Sarawak telah memperuntukkan berbilion ringgit untuk pembinaan jalan raya, jambatan, pelabuhan dan zon perindustrian, semuanya tanpa berhutang atau pembiayaan dari Kerajaan Persekutuan.

“Disiplin fiskal kerajaan negeri dan mengamalkan pembiayaan inovatif termasuk model pembiayaan alternatif diperkenalkan pada 2019 telah mempercepatkan pembangunan infrastruktur.

“Komitmen Sarawak terhadap pengurusan kewangan strategik dibuktikan apabila sebanyak RM11 bilion dilaburkan bagi sepuluh jambatan...dilaksanakan tanpa pinjaman luar,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama hari ini.

Ramli berkata keputusan untuk menggantikan Tabung Amanah Pembangunan Infrastruktur dengan mekanisme pembiayaan moden yang disatukan menyerlahkan tumpuan negeri itu terhadap kecekapan dan akauntabiliti projek.

Beliau berkata kestabilan politik dan visi jangka panjang juga membolehkan Sarawak mengekalkan pembangunan yang konsisten melalui inisiatif seperti rangkaian jalan pesisir, jalan raya utama kedua, pelabuhan laut dalam dan zon perindustrian bebas.

“Sebaliknya, Sabah menghadapi jurang infrastruktur yang berterusan, sebahagian besarnya disebabkan oleh pergantungan kepada geran dari kerajaan persekutuan. Walaupun negeri ini telah mendapat autonomi untuk projek di bawah RM50 juta, usaha niaga infrastruktur yang lebih besar tetap tertakluk kepada proses persekutuan.

"Ini telah mengakibatkan kekurangan pelaburan dan kelewatan yang sangat kronik seperti yang berlaku kepada Lebuhraya Pan Borneo Sabah," kata Ramli.

Beliau berkata sektor logistik di Sabah amat tertekan dengan kos pengangkutan dilaporkan 30 hingga 50 peratus lebih tinggi berbanding di Semenanjung Malaysia dan sistem pengangkutan awam di Kota Kinabalu jauh ketinggalan di belakang Kuala Lumpur.

Sementara itu, banyak kawasan luar bandar masih kekurangan infrastruktur asas dan jumlah jalan penghubung rendah terus menghalang pertumbuhan ekonomi.

Kebergantungan Sabah pada perancangan infrastruktur tidak teratur dan reaktif telah mengehadkan potensinya untuk transformasi ekonomi yang mampan.

Ramli berkata kejayaan Sarawak berakar umbi daripada kepimpinan institusi dan autonomi fiskalnya.

“Keupayaan negeri ini untuk mengurus dan membiayai agenda infrastrukturnya secara bebas seharusnya menjadi dorongan untuk Sabah memperkukuh kapasiti dalamannya,” katanya.

-- BERNAMA