BERITA TERKINI   Malaysia, Republik Kyrgyz desak Israel tamatkan jenayah genosid demi keselamatan dan keadilan buat Gaza – PM Anwar | Kertas siasatan libatkan Ismail Sabri selesai, Timbalan Pendakwa Raya setuju fail permohonan lucutkan hak RM 170 juta - KP SPRM | SPRM mohon lucut harta milik Tun Daim dan isteri termasuk Menara Ilham, di Mahkamah Tinggi KL hari ini - KP SPRM | Malaysia, Republik Kyrgyz bincang kerjasama dalam industri halal, perbankan Islam, penyelidikan dan pertukaran pelajar – PM Anwar | Pihak berkuasa UK setuju permohonan SPRM lucut harta Tun Daim di negara itu - KP SPRM | 

CIMB Investment Jangka Penstrukturan Semula Tarif Elektrik Bawa Impak Inflasi Minimum

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Penstrukturan semula tarif elektrik Malaysia dijangka membawa kesan minimum terhadap keseluruhan inflasi dan kesan langsungnya terhadap indeks harga pengguna (IHPI) utama adalah kecil, kata CIMB Investment Bank Bhd (CIMB).

Berdasarkan pengiraan bil Tenaga Nasional Bhd, pengguna domestik yang menggunakan tenaga di bawah 1,000 kilowatt sejam (kWj) sebulan dijangka mendapat manfaat paling banyak daripada diskaun 1.0-14.5 peratus, dengan mereka yang menggunakan elektrik di bawah 600 kWj menerima caj runcit penuh dan pengecualian cukai perkhidmatan.

CIMB Investment Bank menerusi nota penyelidikannya hari ini berkata ia menganggarkan 85 peratus pengguna kediaman - bersamaan kira-kira 7.7 juta isi rumah - menggunakan kurang daripada 600 kWj, menjadikan mereka layak mendapat pengecualian caj penuh dan ini seterusnya membawa kepada peningkatan inflasi yang perlahan. 

"Elektrik mempunyai kepentingan 2.7 peratus dalam IHP, dan dengan purata penggunaan isi rumah dianggarkan pada 440 kWj, impak IHP setahun penuh berkemungkinan berada di bawah sedikit -0.1 mata peratusan," katanya.

Bank pelaburan itu berkata tarif juga memperkenalkan rebat bersasar melalui Insentif Kecekapan Tenaga, dan memperluaskan waktu luar puncak di bawah skim harga Masa Penggunaan — dari 10 malam – 8 pagi hingga 10 malam – 2 petang — meningkatkan potensi penjimatan untuk penggunaan isi rumah pada kadar rendah hingga sederhana.

Sementara itu, CIMB Investment Bank berkata trajektori tarif pada masa depan di bawah mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik akan bergantung kepada pergerakan pertukaran asing dan harga bahan api pasaran, terutamanya arang batu dan gas asli global, yang secara kolektif menyumbang kira-kira 90 peratus daripada campuran tenaga Malaysia.

“Walaupun harga bagi kedua-dua komoditi itu kekal rendah berbanding tahun lepas, risiko geopolitik masih boleh menyebabkan turun naik harga.

"Bagaimanapun, dengan kebanyakan isi rumah dilindungi dan kos bahan api semasa secara relatifnya terkawal, kami menjangkakan kesan inflasi kekal terhad," katanya.

Inflasi utama Malaysia susut kepada 1.2 peratus tahun ke tahun pada Mei — paras terendah sejak Februari 2021.

“Memandangkan trend inflasi rendah, ditambah pula dengan perdagangan luar yang lemah, kami mengekalkan saranan kami untuk Bank Negara Malaysia mengurangkan kadar dasar semalaman sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus pada mesyuarat jawatankuasa dasar monetari Julai untuk menyokong pertumbuhan,” kata CIMB.

-- BERNAMA