BERITA TERKINI   Bursa sasar permodalan pasaran IPO RM28 bilion tahun ini daripada RM27.4 bilion pada 2025 dengan tumpuan kepada penyenaraian yang lebih besar dan berkualiti tinggi - Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia | Kerajaan sedang gubal Akta Keterjaminan Makanan Negara, asas perundangan kukuh pelihara kedaulatan makanan - TPM Fadillah | Dasar Keterjaminan Makanan Negara (DKMN) 2030 pacu transformasi sektor agromakanan negara - TPM Fadillah | RM254 juta diperuntukkan bagi program pembangunan koperasi tahun ini, tertinggi sejak penubuhan gerakan koperasi pada 1922 - Steven Sim. | Ladang Solar KLIA dijangka kurangkan pelepasan karbon dioksida sehingga 35,000 tan setahun - Fadillah | 

Pembangunan Kota MADANI Bernilai RM4 Bilion Bermula Suku Ketiga Tahun Ini

PUTRAJAYA, 24 Jun (Bernama) -- Pembangunan Kota MADANI di Presint 19 di sini yang menempatkan kuarters kerajaan akan dilaksanakan secara berfasa dijangka bermula suku ketiga tahun ini dengan kos pembangunan dianggarkan berjumlah RM4 bilion.

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Fadlun Mak Ujud berkata projek berkenaan adalah inisiatif Kerajaan Persekutuan berikutan kajian mendalam yang menunjukkan keperluan mendesak terhadap penyediaan perumahan mampu milik khususnya bagi golongan penjawat awam. 

"Kerajaan bersetuju pembangunan dijalankan secara Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) dan Putrajaya Holdings Sdn Bhd (PjH) dilantik bagi melaksanakan projek ini dengan kos pembangunan yang diluluskan kerajaan kira-kira RM4 bilion," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sesi taklimat Kota MADANI yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa di sini hari ini.

Fadlun berkata semua kos pembangunan akan diperincikan dalam perjanjian definitif dan diteliti secara menyeluruh oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) termasuk melalui proses kejuruteraan nilai bagi memastikan penjimatan dan keberkesanan pelaburan kerajaan.

"Projek ini berlandaskan konsep konsesi bina-pajak-senggara-pindah (BLMT)… bermakna kerajaan tidak menanggung secara terus kos penyelenggaraan kuarters, tetapi dibayar secara tempoh jangka panjang yang ditetapkan oleh kerajaan. Jadi beban kepada kerajaan adalah sangat minimum berbanding yang dilaksanakan pada masa ini.

"Oleh itu, ini adalah pendekatan yang diperkenalkan bagi pembangunan kuarters dan tempoh bayar balik juga akan ditetapkan oleh UKAS. Sehubungan itu, kerajaan memang meneliti dari segi kos pelaksanaan bagi projek ini," katanya.

Fadlun berkata fasa pertama pembangunan pada September ini akan melibatkan 3,000 unit kediaman di bawah fasa 1A dan 1B yang turut diselaraskan dengan pembinaan sebuah sekolah dengan konsep menegak, yang dijangka siap dijangka siap pada 2027.

Menurutnya langkah ini bertujuan supaya kemudahan pendidikan dapat beroperasi serentak apabila perumahan siap.

Beliau berkata proses tender terbuka akan dilaksanakan dalam masa terdekat oleh PjH dan katanya kerajaan tidak terlibat secara langsung dalam pemilihan kontraktor, namun akan memantau rapi keseluruhan kos dan siling bajet yang ditetapkan.

Kota MADANI yang berkeluasan 41.28 hektar akan menempatkan 10,000 unit kuarters kediaman untuk lebih 30,000 penduduk dan dibina secara vertikal berintensiti tinggi.

Reka bentuknya yang mengintegrasikan teknologi kecerdasan buatan, prasarana digital berkecekapan tinggi dan sistem mobiliti hijau akan menjadi asas kepada bandar rendah karbon sebagai menjunjung prinsip kemampanan, kesejahteraan dan keselamatan awam.

Pembangunan itu adalah pelaburan strategik jangka panjang dalam merangka masa depan Putrajaya sebagai bandar contoh yang mendukung nilai MADANI dan selari visi Bandar CHASE iaitu bandar yang bersih, sihat, maju, selamat dan mesra alam.

-- BERNAMA