Aircraft Propeller Service Buka Kemudahan MRO Pertama Asia Di Shah Alam
SHAH ALAM, 24 Jun (Bernama) -- Aircraft Propeller Service (APS), peneraju global dalam penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) kipas pesawat, hari ini membuka kemudahan baharunya di Shah Alam, Selangor, menandakan pusat MRO pertamanya di Asia.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari yang mengalu-alukan kehadiran APS itu, berkata syarikat berkenaan membawa kepakaran yang lebih mendalam pada penyelenggaraan kipas pesawat yang digunakan untuk pesawat turboprop seperti yang dikeluarkan oleh ATR, Embraer dan juga Airbus.
“Perkembangan ini terus mengukuhkan ekosistem aeroangkasa kita kerana hampir 67 peratus daripada jumlah aktiviti MRO Malaysia sudah berpusat di Selangor. Saya yakin dengan kehadiran APS dalam industri MRO kita, kita berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran menguasai 70 peratus aktiviti MRO negara menjelang 2030,” katanya ketika berucap di majlis perasmian kemudahan MRO APS di sini.
Amirudin berkata keputusan APS untuk memilih Selangor sebagai pangkalan operasi ketiganya selepas Brazil dan Amerika Syarikat (AS) menunjukkan keyakinan yang semakin meningkat terhadap lokasi geografi strategik negeri ini, tenaga kerja mahir, persekitaran kawal selia yang telus dan kedudukannya sebagai pintu masuk ke ASEAN.
APS kini merupakan satu-satunya syarikat MRO di Asia dan Amerika yang diberi lesen untuk melaksanakan pembaikan kipas 568F proprietari daripada pengeluar peralatan asal (OEM) di bawah perjanjian dengan pengeluar kipas, Collins Aerospace.
Dengan kemudahannya di Malaysia, Amerika Syarikat dan Brazil, APS berada pada kedudukan strategik untuk menyokong armada turboprop utama merentas pelbagai rantau. Sebagai kemudahan pembaikan berlesen Collins Aerospace, syarikat itu empunyai akses kepada penerbitan teknikal serta menggunakan bahan dan proses yang diluluskan oleh OEM.
Bercakap pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif APS Daniel Colbert berkata kemudahan baharu berkenaan merupakan satu pelaburan strategik dalam pembangunan tenaga kerja dan kecemerlangan teknikal, selain mendekatkan syarikat kepada pelanggan serantaunya.
“Lokasi strategik rantau ini merupakan salah satu sebab utama kami memilih Selangor untuk pengembangan ketiga kami. Selain daripada infrastruktur yang sangat baik dan tenaga kerja mahir, kemudahan menjalankan perniagaan serta ketelusan dalam berurusan dengan Invest Selangor, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan pihak berkuasa tempatan menjadikan proses ini berjalan lancar,” katanya sambil menambah syarikat itu telah mengambil 100 pekerja tempatan.
Kemudahan baharu seluas 30,096 kaki persegi yang melibatkan pelaburan melebihi US$1 juta (US$1 = RM4.27) ini menampilkan lantai kilang yang dikawal suhu dan kelembapan serta bangunan pejabat pentadbiran tiga tingkat. Ia akan menawarkan keupayaan MRO dalaman sepenuhnya untuk kipas pesawat ATR 42/72 dan Airbus C295, dengan perancangan untuk memperkenalkan lebih banyak keupayaan MRO dari semasa ke semasa.
Kemudahan APS di Selangor merupakan yang pertama di Asia dan melengkapi operasi sedia ada syarikat itu di Amerika Syarikat dan Brazil. Ia telah diperakui oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), dengan pensijilan daripada Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) dan pihak-pihak berkuasa lain dijangka menyusul.
-- BERNAMA