TPM Fadillah Minta AirAsia X Pertimbang Samarkand Dalam Laluan Ke Uzbekistan
Daripada Siti Radziah Hamzah
TASHKENT, 24 Jun (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof meminta AirAsia X mempertimbang Samarkand sebagai destinasi dalam laluan penerbangan ke Uzbekistan berikutan peningkatan minat untuk menziarahi lokasi bersejarah Islam di rantau itu.
Langkah itu juga, kata beliau, akan menjadi sebahagian daripada rancangan untuk menggalakkan hubungan sesama penduduk menerusi pertukaran budaya, memanfaatkan warisan budaya dan kawasan bersejarah kedua-dua negara selain inisiatif bersama dalam aspek pendidikan dan pembangunan modal insan.
“Sewaktu saya di Samarkand, ada permintaan daripada Gabenor dan Timbalan Gabenor Samarkand yang meminta sekurang-kurangnya satu penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Samarkand...permintaan ini akan saya kemukakan kepada pihak AirAsia X.
“Adalah diharapkan kita mempunyai satu penerbangan terus dari Samarkand, terutama bagi mereka yang mahu mengerjakan umrah,” katanya ketika berucap pada Forum Perniagaan Malaysia-Uzbekistan 2025 di sini, hari ini.
Forum sehari itu dianjurkan bersama oleh Perikatan Perniagaan Malaysia-Uzbekistan (MUBA) dan Kementerian Pelaburan, Industri dan Perdagangan Uzbekistan.
Hari ini adalah yang terakhir dalam agenda lawatan kerja Fadillah di Uzbekistan sebelum meneruskan usaha itu ke Rusia sehingga 28 Jun, 2025.
Pada 23 Jun lepas, AirAsia X berkata syarikat penerbangan tambang rendah itu memulakan laluan baharu ke Tashkent, Uzbekistan sebanyak tiga kali seminggu mulai 15 Okt, 2025.
Laluan berkenaan diperkenalkan susulan kehadiran AirAsia X ke wilayah itu menerusi penerbangan ke Almaty, Kazakhstan pada awal 2024.
-- BERNAMA