BERITA TERKINI   Pulau Pinang salur bantuan i-Sejahtera fasa 1/2026 mulai 7 Feb kepada 281,135 penerima, libatkan RM50.93 juta - Chow | Pulau Pinang tetapkan kadar zakat fitrah tahun ini kepada tiga kategori, RM10, RM15 dan RM25 - YDP Majlis Agama Islam Negeri | Syarikat perlu menguruskan risiko mata wang secara giat melalui strategi lindung nilai dan perniagaan yang sesuai - Johari Ghani | SPRM akan siasat mana-mana kes jika terdapat petunjuk baharu, walaupun diklasifikasikan tiada kes sebelum ini - Azam Baki | Penggunaan kamera badan oleh anggota penguatkuasa PBT di Wilayah Persekutuan dilaksanakan secara berfasa bermula suku keempat tahun ini - Hannah | 

Harga Saham Gamuda Meningkat Selepas Konsortium Disenarai Pendek Untuk Projek Lebuh Raya Di New Zealand

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Harga saham Gamuda Bhd tinggi dalam dagangan awal hari ini selepas dilaporkan telah disenarai pendek melalui konsortium Together North untuk projek lebuh raya Northland Corridor (NCH) di New Zealand.

Pada 10.30 pagi, saham Gamuda naik empat sen kepada RM4.74 sesaham dengan 1.74 juta saham diniagakan.

Konsortium Together North terdiri daripada Plenary Origination Pty Ltd, Webuild, WBCA Pty Ltd, Gamuda Engineering Pty Ltd dan Service Stream Holdings Pty Ltd.

Menurut RHB Investment Bank Bhd (RHB IB) dalam nota hari ini, jika konsortium tersebut berjaya dipilih sebagai pembida pilihan, projek itu akan menjadi tambahan yang baik kepada pendedahan pembinaan Gamuda di luar negara yang pada masa ini meliputi Australia, Taiwan dan Singapura, membentuk 50-60 peratus daripada jumlah nilai perolehan kontrak kumpulan itu.

Katanya terdapat dua konsortium lain, Northway dan Go>North, disenarai pendek untuk seksyen Warkworth ke Te Hana dalam NCH.

“Fasa pertama projek ini termasuklah lebuh raya empat lorong sepanjang 26 kilometer dari Warkworth ke Te Hana, yang menghubungkan ke lebuh raya baharu Pūhoito Warkworth. 

“Reka bentuk indikatif bagi Warkworth ke Te Hana merangkumi terowong berkembar sepanjang 850 meter di Dome Valley dan tiga persimpangan yang terletak di Warkworth, Wellsford dan Te Hana,” menurut bank pelaburan itu.

RHB IB mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas Gamuda dengan harga sasaran RM5.64.

-- BERNAMA