Indeks FBM KLCI Rendah Pada Tengah Hari, Sentimen Pasaran Kekal Positif
KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut pada akhir sesi dagangan pagi ini, diasak oleh aktiviti jualan saham-saham wajaran tinggi susulan penurunan harga minyak akibat ketegangan di Timur Tengah.
Pada 12.30 tengah hari, indeks penanda aras itu turun 0.37 mata atau 0.02 peratus kepada 1,516.24 daripada penutupan Isnin pada paras 1,516.61.
Sewaktu dibuka pagi ini, FBM KLCI susut 2.36 mata pada 1,514.25 dan bergerak dalam julat 1,511.09 hingga 1,519.06 sepanjang sesi dagangan.
Sentimen pasaran secara meluas adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 528 berbanding 327 manakala 393 kaunter tidak berubah, 1,190 tidak diniagakan dan 41 digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 1.56 bilion unit yang bernilai RM865.60 juta.
Setakat tengah hari ini, harga minyak mentah Brent yang juga penanda aras global susut sebanyak 2.42 peratus kepada US$69.75 setong.
Public Investment Bank Bhd berkata harga minyak jatuh hampir ke paras asal sebelum bermulanya krisis Israel-Iran selepas meningkat enam peratus pada awal ketegangan itu.
“Kejatuhan itu menjadi ketara selepas Iran mengumumkan serangan peluru berpandu ke atas Pangkalan Udara Al Udeid di Qatar yang digunakan oleh tentera Amerika Syarikat,” kata bank pelaburan itu dalam nota penyelidikannya, hari ini.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank menokok 15 sen kepada RM9.82, Tenaga Nasional meraih empat sen kepada RM14.34 manakala Public Bank turun 14 sen kepada RM4.28, CIMB rugi empat sen kepada RM6.76 dan IHH Healthcare turun sembilan sen kepada RM6.76.
Bagi saham paling aktif, Cuckoo dan Dnonce Technology kekal tidak berubah pada RM1.08 dan tiga sen manakala NexG naik satu sen kepada 36 sen dan Tanco menokok 1.5 sen kepada 93.5 sen.
Dalam pada itu, saham berkaitan minyak dan gas juga mencatat dagangan yang aktif dengan Reservoir Link susut 10 sen kepada 33 sen, Hibiscus Petroleum turun 15 sen kepada RM1.68 dan Velesto Energy tidak berubah pada 18.5 sen.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas naik 9.94 mata kepada 11,299.12, Indeks FBMT 100 meraih 4.90 mata kepada 11,088.80 dan Indeks FBM Emas Shariah melonjak 46.39 mata kepada 11,258.30.
Indeks FBM 70 naik 40.49 mata kepada 16,112.58 dan Indeks FBM ACE menambah 23.27 mata kepada 4,401.12.
Dari segi sektor, Indeks Kewangan susut 30.32 mata kepada 17,642.47 dan Indeks Tenaga turun 17.90 mata kepada 728.05 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 1.34 mata kepada 148.72 dan Indeks Perladangan naik 0.64 mata kepada 7,231.19.
-- BERNAMA