Aktiviti Buru Saham Dorong FBM KLCI Ditutup Meningkat
Oleh Anas Abu Hassan and Danni Haizal
KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melantun daripada penurunan awal dan ditutup lebih tinggi hari ini, didorong oleh aktiviti memburu saham-saham berharga rendah selain minat berterusan pelabur susulan sentimen berhati-hati terhadap prospek ekonomi global, kata penganalisis.
Pada 5 petang, indeks penanda aras itu naik 0.92 peratus atau 13.87 mata kepada 1,516.61 daripada 1,502.74 semalam.
Indeks itu yang dibuka susut 9.55 mata kepada 1,493.19, turun ke paras 1,488.89 pada sesi pagi ini, namun meraih momentum peningkatan dan mencecah paras intra harian tertinggi.
Namun, sentimen pasaran secara meluas adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 697 berbanding 274 manakala 490 kaunter tidak berubah, 971 tidak diniagakan dan 39 lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan melonjak kepada 3.09 bilion unit bernilai RM1.91 bilion daripada 2.60 bilion unit bernilai RM3.37 bilion pada Jumaat lepas.
Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata secara keseluruhannya, indeks serantau utama ditutup rendah susulan minat risiko pelabur terjejas akibat ketegangan di Timur Tengah yang terus memuncak pada akhir minggu lepas.
Di peringkat tempatan, beliau menjangkakan sentimen pelabur kekal goyah berikutan prospek berhati-hati selain didorong oleh kebimbangan akibat ketidaktentuan makroekonomi yang berterusan.
“Bagaimanapun, kami menjangkakan harga minyak mentah yang tinggi akan mencetuskan lebih banyak aktiviti pembelian saham minyak dan gas.
“Pada masa ini, kami menjangkakan indeks penanda aras itu bergerak dalam julat 1,500-1,530 minggu ini yang mewakili paras sokongan dan rintangan,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata pelabur berkemungkinan menumpukan data inflasi Malaysia bagi Mei yang dijadual diumumkan esok dan dijangka kekal stabil.
“Krisis Israel-Iran yang terus meruncing itu hanya mencetuskan lonjakan harga minyak. Namun, kami yakin kesannya kepada inflasi domestik kekal terhad,” katanya.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank naik satu sen kepada RM9.67, Tenaga Nasional meraih lapan sen kepada RM14.30, Public Bank melonjak 21 sen kepada RM4.42, CIMB menokok 15 sen kepada RM6.80 dan IHH Healthcare sebaliknya tidak berubah pada RM6.85.
Bagi saham paling aktif, PUC dan MYEG turun setengah sen kepada 1.5 sen dan 90 sen, Tanco turun dua sen kepada 92 sen manakala Reservoir Link turun enam sen kepada 43 sen dan Green Ocean meraih 3.5 sen kepada 26.5 sen.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas melonjak 60.19 mata kepada 11,289.18, Indeks FBMT 100 meningkat 68.45 mata kepada 11,083.90 dan Indeks FBM Emas meraih 10.57 mata kepada 11,211.91.
Indeks FBM 70 merosot 45.66 mata kepada 16,072.09 dan Indeks FBM ACE berkurangan 23.00 mata kepada 4,377.85.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 204.41 mata kepada 17,672.79 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan susut 0.11 mata kepada 147.38, Indeks Perladangan naik 10.03 mata kepada 7,230.55 dan Indeks Tenaga menokok 10.24 mata kepada 745.95.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 1.43 bilion unit bernilai RM1.65 bilion daripada 1.13 bilion unit pada akhir dagangan Jumaat lepas.
Perolehan waran meningkat kepada 1.26 bilion unit bernilai RM166.41 juta berbanding 634.80 juta unit bernilai RM82.94 juta sebelum ini.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE menokok kepada 404.29 juta unit bernilai RM92.58 juta daripada 331.19 juta unit bernilai RM73.43 juta pada minggu lepas.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 204.86 juta saham di Pasaran Utama dan diikuti produk dan perkhidmatan perindustrian sebanyak 231.86 juta saham, pembinaan (96.58 juta), teknologi (182.96 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (64.97 juta), hartanah (145.42 juta), perladangan (19.99 juta), REIT (35.68 juta) dana tertutup (13,800), tenaga (222.55 juta), penjagaan kesihatan (79.41 juta), telekomunikasi dan media (53.64 juta), pengangkutan dan logistik (37.42 juta), utiliti (53.86 juta) dan amanah perniagaan (20,000).
-- BERNAMA