BERITA TERKINI   Syarikat pengendali kenderaan barangan dan bas ekspres diberi tempoh 14 hari mulai hari ini untuk selesaikan semua saman tertunggak -- Loke | MOT gesa semua syarikat pengendali kenderaan barangan dan bas ekspres amal budaya utamakan keselamatan -- Loke | Pelaburan langsung asing Malaysia mencatat aliran masuk bersih berjumlah RM51.5 bilion pada 2024, meningkat daripada RM38.6 bilion pada 2023 -- DOSM | Malaysia, Republik Kyrgyz desak Israel tamatkan jenayah genosid demi keselamatan dan keadilan buat Gaza – PM Anwar | Kertas siasatan libatkan Ismail Sabri selesai, Timbalan Pendakwa Raya setuju fail permohonan lucutkan hak RM 170 juta - KP SPRM | 

FBM KLCI Tinggi Pada Tengah Hari

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) tinggi semasa mengakhiri sesi pagi ini, didorong oleh minat belian baharu dalam saham mewah terpilih walaupun sentimen berhati-hati dalam ketegangan geopolitik yang meningkat.

Pada 12.30 tengah hari, indeks petunjuk pasaran meningkat 6.61 mata atau 0.44 peratus kepada 1,509.35 daripada 1,502.74 pada Jumaat lepas.

FBM KLCI, yang dibuka rendah 9.55 mata kepada 1,493.19, merosot serendah 1,488.89 dalam dagangan awal sebelum meningkat kepada paras tertinggi pada 1,509.77 menjelang rehat tengah hari.

Bagaimanapun, pasaran secara menyeluruh negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 730 berbanding 175 manakala 412 kaunter tidak berubah, 1,115 tidak diniagakan dan 39 yang lain digantung.  

Jumlah dagangan sebanyak 2.04 bilion unit bernilai RM960.69 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, ketegangan geopolitik yang meningkat di Timur Tengah boleh mendorong minat belian terhadap emas serta kaunter berkaitan minyak dan gas.

“Walaupun ketegangan masih berterusan, kami kekal positif terhadap sektor pembinaan dan utiliti berikutan sektor pembinaan mendapat manfaat daripada pembangunan infrastruktur awam dan pelaburan dalam pusat data di seluruh negara manakala sektor utiliti disokong oleh kerja-kerja menaik taraf grid tenaga oleh Tenaga Nasional,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat satu sen kepada RM9.67, Tenaga Nasional naik 12 sen kepada RM14.34, Public Bank menambah lima sen kepada RM4.26, CIMB menokok enam sen kepada RM6.71 dan IHH Healthcare mendatar pada RM6.85.

Bagi saham paling aktif, PUC, MYEG dan Dnonce Technology, masing-masing kekal tidak berubah pada dua sen, 90.5 sen dan tiga sen manakala Reservoir Link meningkat setengah sen kepada 37.5 sen.  

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 12.62 mata kepada 11,241.61, Indeks FBMT 100 meningkat 18.95 mata kepada 11,034.40 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 2.25 mata kepada 11,203.59.

Bagaimanapun, Indeks FBM 70 merosot 101.68 mata kepada 16,016.07 dan Indeks FBM ACE jatuh 42.27 mata kepada 4,358.58.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 30.15 mata kepada 17,498.53 dan Indeks Tenaga meningkat 9.28 mata kepada 744.99 manakala Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.45 mata kepada 146.82 dan Indeks Perladangan berkurangan 8.67 mata kepada 7,211.85.

-- BERNAMA