BERITA TERKINI   Kejuaraan Kelab ASEAN 2025/2026: Buriram United 1-2 JDT | Fasa Monsun Barat Daya bermula esok, cuaca lebih panas, kering, taburan hujan rendah - TPM Ahmad Zahid | Kejuaraan Kelab ASEAN 2025/2026: Nam Dinh 0 - 2 Selangor FC | 430 motosikal Honda model CMX500A dan CBR650RAC dipanggil semula bermula 25 Mei berikutan isu teknikal - JPJ | Proses peralihan, penukaran MyKad Struktur Baharu tidak ganggu proses penebusan bantuan kerajaan termasuk SARA, BUDI95 - JPN  | 

KazanForum 2026 Platform Pacu Dagangan, Kewangan Antara Rusia Dan Ekonomi Islam

Daripada Nurunnasihah Ahmad Rashid

KAZAN (Rusia) 13 Mei (Bernama) -- Acara tahunan KazanForum 2026 merupakan platform bagi menjana pelaburan baharu selain peluang yang merentasi aspek perdagangan, pelaburan dan kewangan Islam antara Rusia dan kalangan negara atau ekonomi Islam.

Pada masa sama, pihak penganjur turut menyasarkan untuk mengukuhkan kerjasama perniagaan rentas sempadan menerusi penglibatan yang memberi tumpuan terhadap industri serta inisiatif pelaburan secara bersasar.

Forum Ekonomi Antarabangsa ke-17 “Russia-Islamic World: KazanForum” sedang berlangsung di Kazan, Rusia dari 12 hingga 17 Mei 2026 misalnya menghimpunkan peserta dari Rusia, negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), ASEAN serta pasaran antarabangsa lain.

Ketua Agensi Pembangunan Pelaburan Republik Tatarstan, Taliya Minullina berkata forum itu berperanan sebagai platform ekonomi utama Rusia yang menghubungkan negara berkenaan dengan pasaran Islam yang lain.

“Ini peluang berharga untuk kami berkongsi potensi pelaburan Tatarstan dan mengalu-alukan hadirin ke platform utama Rusia dari segi libat urus Rusia dan negara-negara Islam,” katanya pada sesi taklimat menjelang forum berkenaan.

Turut hadir, Menteri Kebudayaan Tatarstan Irada Ayupova, Timbalan Pengerusi ‘Rusia-Dunia Islam’ Strategic Vision Group Marat Gatin dan Ketua Pengarah Direktorat Sukan dan Projek Sosial Maksim Denisov. 

Kazan yang juga ibu negeri Republik Tatarstan, terletak lebih 830 kilometer dari Moscow dan merupakan pusat perindustrian, komersial dan budaya. 

Setakat 2022, Tatarstan mempunyai seramai 3.9 juta penduduk dengan lebih separuh daripadanya beragama Islam selain dihuni oleh lebih daripada 70 kumpulan etnik.

Tatarstan juga mempunyai lebih 150 pengeluar produk halal dengan kira-kira 20 syarikat menumpukan kepada usaha eksport. 

Antara produk atau eksport utamanya adalah petroleum bertapis bernilai US$4.28 bilion (US$1=RM4.28), petroleum mentah (US$3.84 bilion), getah sintetik (US$1.06 bilion) dan baja nitrogen (US$202 juta).

Mengulas selanjutnya, Minullina berkata Tatarstan juga sedang menggalakkan peluang pelaburan merentasi sektor termasuk pembuatan jentera, pertanian, pelancongan, budaya, pembuatan selain industri yang mendapat pensijilan halal.

“Kami mempunyai pelbagai inisiatif merentasi industri, termasuk pembuatan jentera seperti helikopter, trak, kapal dan pesawat yang diharap dapat dieksport ke negara-negara Islam,” katanya.

Menurut Minullina, forum itu akan mengetengahkan sebanyak 159 sesi padanan perniagaan melibatkan pelbagai sektor selain perbincangan berkaitan kewangan Islam, keterjaminan makanan, pelancongan dan kerjasama pelaburan serantau.

Selain itu, beliau turut menekankan momentum yang makin ketara dalam inisiatif kewangan Islam, termasuk instrumen patuh Syariah dan struktur bon Islam yang sedang dibangunkan di Rusia.

Penyertaan KazanForum 2026 mencecah hampir 25,000 delegasi yang berdaftar, sekali gus memaparkan peningkatan minat antarabangsa terhadap kerjasama ekonomi dengan Rusia dan negara-negara Islam, termasuk Malaysia selain rantau ASEAN.

Program perniagaan 2026 itu merangkumi pelbagai sektor, termasuk kerjasama antarabangsa, kewangan dan pelaburan Islam, pengeluaran halal, industri, pengangkutan, pelancongan, perubatan, pendidikan, budaya, sukan, keusahawanan belia, agenda wanita serta media.

Peserta juga berpeluang menghadiri berpuluh-puluh sesi bertema yang menampilkan kalangan pakar dari wilayah-wilayah Rusia, negara anggota OIC serta pasaran antarabangsa lain.

--  BERNAMA