BERITA TERKINI   MOT laksana larangan pemanduan kenderaan barangan dan logistik mulai 19, 20, 28 dan 29 Mac sempena Aidilfitri | Harga minyak mentah global kini melebihi US$100 setong, Kerajaan kekal RON95 bersubsidi RM1.99 seliter - Kementerian Kewangan | Gas Malaysia akan bangunkan terminal LNG Yan selepas kelulusan Suruhanjaya Tenaga | Ringgit meningkat kepada 3.9145/9205 berbanding dolar AS semasa ditutup hari ini, daripada 3.9155/9200 pada Selasa | Kehadiran dua kapal Tentera Laut Amerika Syarikat di Pulau Pinang adalah persinggahan sementara bagi urusan logistik- Khaled Nordin | 

Institusi Tempatan Kekal Momentum Belian Minggu Kelima Berturut-turut

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Institusi tempatan meneruskan belian bagi minggu kelima berturut-turut dengan aliran masuk bersih berjumlah RM510.6 juta berbanding RM620.6 juta pada minggu sebelumnya, kata MIDF Amanah Investment Bank Bhd.

Menerusi Laporan Aliran Dana MIDF bagi minggu berakhir 20 Jun 2025, katanya bagaimanapun, peruncit tempatan menamatkan aliran keluar selama dua minggu berturut-turut, merekodkan aliran masuk bersih sebanyak RM54.7 juta.

Pada masa sama, pelabur asing meneruskan aliran jualan bersih di Bursa Malaysia untuk minggu kelima berturut-turut, dengan aliran keluar bersih berjumlah RM565.2 juta, meningkat sedikit daripada aliran keluar pada minggu sebelumnya sebanyak RM444.4 juta.

“Pelabur asing merupakan penjual bersih pada setiap hari dagangan, dengan aliran keluar antara –RM52.5 juta hingga –RM202.2 juta. Aliran keluar terbesar dicatatkan pada Jumaat, diikuti Isnin sebanyak –RM130.3 juta,” kata bank pelaburan itu.

Tiga sektor yang mencatat aliran masuk asing bersih tertinggi adalah pengangkutan dan logistik (RM95.8 juta), amanah pelaburan hartanah (RM38.4 juta) dan pembinaan (RM28.9 juta).

Sementara itu, sektor dengan aliran keluar asing bersih tertinggi adalah perkhidmatan kewangan (RM387.4 juta), penjagaan kesihatan (RM110.0 juta), dan produk dan perkhidmatan perindustrian (RM52.9 juta).

Di Asia, pelabur asing beralih kepada jualan bersih pada minggu lepas, mencatatkan aliran keluar sebanyak –US$618.6 juta kecuali di Korea Selatan dan India yang mencatatkan aliran masuk asing bersih.

Menurut bank pelaburan itu purata jumlah dagangan harian menunjukkan penurunan secara menyeluruh minggu lepas kecuali bagi pelabur asing.

“Institusi tempatan dan peruncit tempatan masing-masing mencatatkan penurunan sebanyak –13.3 peratus dan –10.9 peratus manakala pelabur asing mencatatkan peningkatan sebanyak +24.0 peratus,” katanya.

-- BERNAMA