BERITA TERKINI   Mahkamah Tinggi menjatuhi Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak hukuman penjara berjumlah 15 tahun dan denda RM11.4 bilion bagi empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.3 bilion berkaitan 1MDB | Terengganu kembali dilanda banjir, tiga PPS dibuka petang ini - APM Terengganu | Dana 1MDB: Najib didapati bersalah atas semua 21 tuduhan pengubahan wang haram - Mahkamah Tinggi | Dana 1MDB: Najib didapati bersalah atas tuduhan keempat guna kedudukan peroleh suapan - Mahkamah Tinggi | 

Ranking Daya Saing Malaysia Lebih Baik Perlu Jadi Platform Bagi Pembaharuan Lebih Luas - FMM

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Lonjakan Malaysia sebanyak 11 anak tangga kepada kedudukan 23 dalam Ranking Daya Saing Dunia IMD 2025 daripada 69 ekonomi mesti dijadikan sebagai platform untuk pembaharuan yang lebih besar, menurut Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM).

Presiden Tan Sri Soh Thian Lai berkata walaupun pencapaian itu sesuatu yang memberangsangkan namun prestasi tersebut seharusnya tidak dianggap sebagai matlamat akhir.

Beliau berkata Malaysia perlu beralih daripada model pertumbuhan dipacu input, bergantung kepada buruh, modal dan sumber semula jadi, kepada model yang berpaksikan produktiviti dan inovasi untuk mengekalkan momentum pertumbuhan.

“Peralihan ini bukan sahaja tepat pada masanya malah juga perlu supaya Malaysia kekal berdaya saing dalam sektor bernilai tinggi serta mampu menyesuai dengan trend global yang berkembang pesat,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata terdapat beberapa aspek tumpuan yang memerlukan perhatian segera termasuk peningkatan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan sejajar dengan keperluan industri dan keutamaan negara.

“Kedua, ekosistem syarikat pemula niaga di Malaysia mempunyai potensi sebenar terutamanya dalam sektor digital, hijau dan teknologi mendalam. Usahawan tempatan boleh menjadi pemacu utama transformasi ekonomi dengan adanya sokongan yang sesuai, peraturan dipermudah, akses pembiayaan lebih mudah serta bimbingan lebih jelas,” katanya.

Soh turut mengucapkan tahniah kepada kerajaan atas pencapaian itu -- merupakan terbaik sejak 2020.

“Ini menandakan perubahan besar berbanding tahun sebelumnya, apabila Malaysia berada di kedudukan ke-34 daripada 67 ekonomi selepas mengalami penurunan tujuh anak tangga.

“Keputusan terkini ini adalah petunjuk jelas bahawa langkah dasar, pembaharuan institusi dan usaha memulihkan keyakinan pelabur yang dilaksanakan telah mula membuahkan hasil,” katanya.

Malaysia kini berada di kedudukan keempat dunia dari segi prestasi ekonomi, naik daripada tempat kelapan pada tahun lepas.

Kecekapan kerajaan dan kecekapan perniagaan juga mencatatkan peningkatan sebanyak lapan anak tangga.

-- BERNAMA