Bursa Malaysia Ditutup Bercampur-campur, Indeks Komposit Naik Sedikit
Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani dan Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Dagangan di Bursa Malaysia ditutup bercampur-campur hari ini dengan indeks utama meningkat 0.08 peratus disokong oleh aktiviti membeli saham berharga rendah berikutan penjualan baru-baru ini, kata seorang penganalisis.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.30 mata kepada 1,502.74 daripada 1,501.44 pada Khamis.
Indeks petunjuk pasaran itu dibuka rendah turun 0.50 mata kepada 1,500.94 dan bergerak antara paras 1,500.04 dan 1,507.97 sepanjang sesi dagangan.
Bagaimanapun, di keseluruhan pasaran kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 517 berbanding 319 manakala 505 kaunter tidak berubah, 1,083 tidak diniagakan dan 25 digantung.
Jumlah dagangan turun kepada 2.60 bilion unit bernilai RM3.37 bilion daripada 2.81 bilion unit bernilai RM1.69 bilion pada Khamis.
Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, indeks serantau utama iaitu Indeks Hang Seng Hong Kong dan Indeks Straits Times Singapura juga positif selepas China mengekalkan kadar faedah penanda aras tidak berubah.
"Indeks Asia berkaitan kaunter teknologi mencatatkan prestasi paling menonjol, mendapat rangsangan daripada pemulihan keyakinan pelabur dan pemulihan dalam sektor itu," katanya kepada Bernama.
Thong juga berkata Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump telah menangguhkan keputusannya mengenai kemungkinan penglibatan AS dalam krisis di Timur Tengah selama dua minggu lagi, memberikan kelegaan sementara kepada pasaran.
"Di bursa tempatan, kami melihat indeks petunjuk pasaran mendapat sokongan melebihi paras 1,500 mata; namun keadaan masih belum stabil lagi melainkan ia boleh naik melebihi paras 1,515 mata," kata Thong.
Sementara itu, ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI kekal stabil sepanjang hari dagangan, menandakan penurunan mingguan sebanyak 16 mata daripada paras penutup 1,518.11 mata pada Jumaat minggu lepas.
Beliau berkata, keadaan negatif itu mencerminkan minggu yang tidak menentu disebabkan oleh peningkatan risiko geopolitik dan sentimen pelabur yang berhati-hati.
Dari segi makroekonomi, Mohd Sedek berkata data daripada Jabatan Perangkaan menunjukkan penurunan import dan juga eksport Malaysia pada Mei, membayangkan penurunan permintaan global dan gangguan rantaian bekalan yang berterusan.
"Eksport ke AS terutamanya jatuh sebanyak 2.8 peratus daripada RM19.2 bilion kepada RM18.7 bilion. Bagaimanapun, penurunan ini tidak seragam; hanya empat daripada sepuluh destinasi utama eksport Malaysia - iaitu China, Kesatuan Eropah, Taiwan dan Vietnam - mencatatkan pertumbuhan positif," kata Mohd Sedek.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik 6.0 sen kepada RM9.66, Tenaga dan IHH Healthcare kekal tidak berubah masing-masing pada RM14.22 dan RM6.85, Public Bank naik 2.0 sen kepada RM4.21 dan CIMB meningkat 7.0 sen kepada RM6.65.
Dalam kalangan saham paling cergas, PUC dan MYEG tidak berubah masing-masing pada 2.0 sen dan 90.5 sen, Tanco susut 1.5 sen kepada 94.0 sen, MR DIY merosot 1.0 sen kepada RM1.63 dan YTL Corporation turun 4.0 sen kepada RM2.12.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 5.25 mata kepada 11,228.99, Indeks FBMT 100 menokok 11.44 mata kepada 11,015.45, manakala Indeks FBM Emas Shariah merosot 31.55 mata kepada 11,201.34.
Indeks FBM 70 meningkat 24.30 mata kepada 16,117.75 dan Indeks ACE FBM turun 14.20 mata kepada 4,400.85.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 138.24 mata kepada 17,468.38, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.97 mata kepada 147.27, Indeks Perladangan meningkat 1.91 mata kepada 7,220.52 manakala Indeks Tenaga susut sebanyak 3.94 mata kepada 735.71.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.64 bilion unit bernilai RM3.22 bilion daripada 1.13 bilion unit bernilai RM1.45 bilion yang dicatatkan pada Khamis.
Jumlah dagangan Pasaran Utama menokok kepada 1.64 bilion unit bernilai RM3.22 bilion daripada 1.13 bilion unit bernilai RM1.45 bilion sebelumnya.
Jumlah dagangan waran menyusut kepada 634.80 juta unit bernilai RM82.94 juta daripada 1.38 bilion unit bernilai RM164.26 juta.
Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 331.19 juta unit bernilai RM73.43 juta daripada 294.93 juta unit bernilai RM81.53 juta.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 280.39 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (230.16 juta), pembinaan (79.20 juta), teknologi (191.47 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (131.23 juta), hartanah (166.28 juta), perladangan (35.12 juta), REITs (78.05 juta), dana akhir tertutup (7,300), tenaga (150.50 juta), penjagaan kesihatan (103.21 juta), telekomunikasi dan media (79.02 juta), pengangkutan dan logistik (21.27 juta), utiliti (95.82 juta), dan amanah perniagaan (66,200).
-- BERNAMA