MediaDonuts Dijenamakan Semula Sebagai Aleph Di Malaysia, Pasaran Utama Asia
Oleh K. Naveen Prabu
KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Aleph, firma pengiklanan digital global menjenamakan semula entitinya di Asia Pasifik (APAC) iaitu MediaDonuts sebagai Aleph untuk pasaran Malaysia dan di tujuh pasaran utama lain di rantau ini.
Penjenamaan semula ini, yang turut melibatkan Singapura, Indonesia, Filipina, India, Korea Selatan, Thailand dan Vietnam, merupakan sebahagian daripada langkah lebih besar untuk menyatukan operasi Aleph di rantau APAC di bawah satu identiti yang seragam.
Pengarah Urusan Aleph APAC Pieter-Jan de Kroon berkata penjenamaan semula ini bertujuan mengukuhkan kedudukan kumpulan di peringkat serantau dengan menjadikan Malaysia lebih rapat sejajar dengan struktur globalnya.
“Ia membolehkan kami memanfaatkan sumber global, kepakaran dan perkongsian Aleph dengan lebih berkesan di Malaysia, sekali gus memberikan nilai yang dipertingkatkan kepada pelanggan kami,” katanya kepada Bernama.
De Kroon berkata di bawah penjenamaan semula itu, pelanggan boleh menjangkakan akses yang lebih baik untuk kepakaran dan sumber global.
“Kehadiran jenama kami yang saragam ini bagi memastikan konsistensi dalam kualiti perkhidmatan dan sistem sokongan yang lebih kukuh, yang akhirnya akan membawa kepada prestasi kempen yang lebih baik dan pulangan pelaburan,” katanya.
De Kroon berkata Aleph merancang untuk menyokong pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia melalui inisiatif pendidikan seperti bengkel, sesi latihan dan program pensijilan, di samping menyediakan penyelesaian yang disesuaikan dan akses langsung ke platform-platform digital utama.
Selain itu, beliau berkata Aleph membezakan dirinya daripada pemain-pemain lain dalam ekosistem pemasaran digital Malaysia melalui perkongsian uniknya dengan platform digital utama termasuk Google, TikTok, X (dahulunya Twitter), Pinterest dan Spotify.
“Kerjasama kami dengan platform-platform utama dimanfaatkan untuk memberi faedah kepada pengiklan tempatan dengan menyediakan mereka akses langsung kepada teknologi pengiklanan termaju, inventori iklan premium dan sokongan yang diperibadikan daripada pakar-pakar platform,” kata De Kroon.
Beliau juga berkata rancangan jangka panjang Aleph untuk Malaysia melibatkan pertumbuhan berterusan dan peningkatan pelaburan di pasaran tempatan, termasuk rancangan untuk mengembangkan pasukannya.
“Terdapat potensi besar untuk Malaysia menjadi hab serantau dalam APAC, memandangkan kedudukannya yang strategik, infrastruktur digital yang kukuh dan persekitaran perniagaan yang dinamik.
“Kami berhasrat untuk meneroka dan membangunkan potensi ini sepenuhnya bagi mencapai transformasi digital yang menyeluruh dalam pasaran,” katanya.
Penjenamaan semula ini berikutan pengambilalihan perniagaan pengiklanan digital Entravision oleh Aleph pada pertengahan 2024 dan menandakan penggabungan sepenuhnya MediaDonuts ke dalam jenama Aleph.
Sebagai satu jenama yang seragam, Aleph kini beroperasi di lebih daripada 150 pasaran di seluruh dunia, dengan lebih 60 kerjasama platform, berkhidmat kepada kira-kira 26,000 pengiklan dan disokong oleh pasukan global yang terdiri daripada lebih 1,500 pekerja.
-- BERNAMA