BERITA TERKINI   SST buah import: Lebih banyak penjelasan akan dibuat bagi elak kekeliruan rakyat - PM Anwar | Lantikan Ketua Polis Negara masih belum dimuktamad - PM Anwar | Kerajaan tidak naikkan harga minyak (RON95) walaupun ketegangan berlaku antara Iran-Israel ketika ini - PM Anwar | E-waste bernilai lebih setengah bilion ringgit dirampas, 453 individu ditahan dalam Op Hazard 2.0 - Pengarah KDNKA Bukit Aman | 

HLIB Kekalkan Unjuran BNM Turun OPR 2.75 Peratus Pada Separuh Kedua 2025

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) mengekalkan unjuran bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) akan menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas (bps) kepada 2.75 peratus dalam separuh kedua 2025 atas faktor keperluan ekonomi.

Sehubungan itu, faktor-faktor utama yang akan dipantau termasuk pengumuman data ekonomi Amerika Syarikat (AS) seperti inflasi pada 27 Jun dan penggajian bukan perladangan bagi Jun (3 Julai) selain data perdagangan Malaysia bagi Mei (20 Jun).

“Perkembangan rundingan tarif Malaysia-AS yang perlu dimuktamadkan menjelang 9 Julai (tarikh akhir penangguhan 90 hari) serta ketegangan geopolitik pada di Timur Tengah yang kian meruncing juga perlu diberi perhatian,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Laporan menyatakan Rizab Persekutuan AS (Fed) telah mengekalkan kadar faedahnya dalam julat 4.25-4.50 peratus dalam mesyuarat keempatnya yang berturut-turut.

Fed juga menegaskan masih menunggu maklumat lanjut mengenai pelanjutan tarif ketika pasaran tenaga kerja secara realtifnya kekal stabil.

HLIB berkata walaupun Fed telah menurunkan unjuran pertumbuhan, ia sebaliknya menaikkan unjuran inflasi negara itu.

“Isyarat yang bercampur-campur itu menyebabkan unjuran media bagi dua penurunan (50 bps) tidak berubah.

“Namun, jika diteliti, ini hanya memaparkan pendirian yang lebih berhati-hati,” katanya.

Merujuk data Mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC), HLIB berkata FOMC turut memantau petunjuk baharu yang menunjukkan pertumbuhan aktiviti ekonomi AS yang kukuh.

Kadar pengangguran kekal rendah, keadaan pasaran tenaga kerja kukuh, namun inflasi negara itu meningkat, kata bank pelaburan itu.

“Jawatankuasa itu menyasarkan untuk mencapai pekerjaan maksimum dan inflasi pada kadar 2.0 peratus bagi jangka panjang.

“Mengambil kira tahap dan tempoh pelarasan tambahan ke atas julat sasaran kadar dana Fed, FOMC akan meneliti data akan datang, unjuran perubahan dan keseimbangan risiko selain terus mengurangkan pegangan sekuriti perbendaharaan, hutang agensi serta sekuriti dijamin oleh agensi gadai janji," katanya.

-- BERNAMA