BERITA TERKINI    Harga runcit diesel Semenanjung kekal, RON95 tanpa susbsidi dan RON97 masing-masing naik 10 dan 5 sen seliter bagi tempoh 30 April - 6 Mei - MOF | Anak syarikat milik penuh Maxis Bhd, Maxis Broadband Sdn Bhd menyediakan pendahuluan pemegang saham tambahan sebanyak RM202 juta kepada Digital Nasional Bhd | Piala Thomas: Jepun 1 Malaysia 0: Kodai Naraoka tewaskan Leong Jun Hao 21-11, 21-15 | Piala Uber: Malaysia akan berdepan juara bertahan China di peringkat suku akhir | Pelarasan perbelanjaan akan dibuat tanpa menjejaskan perkhidmatan kritikal kepada rakyat dan kestabilan ekonomi - MOF | 

MDEC Rai Ulang Tahun Ke-30 Dengan Program Lonjak Ekonomi Digital Dipacu AI

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) kini melaksanakan siri program bagi memperkukuh ekonomi digital Malaysia selain melonjakkan peralihan kepada sebuah negara dipacu kecerdasan buatan (AI).

Ketua Pegawai Eksekutif Anuar Fariz Fadzil berkata usaha bermakna itu memaparkan evolusi agensi berkenaan daripada detik-detik awal penubuhan kepada peranan semasa sebagai peneraju transformasi digital negara.

“Pada tahun ini kami menjalankan pelbagai program bersempena ulang tahun ke-30 MDEC. Mengimbau semula perjalanan ini, kami dapat menyaksikan bagaimana AI telah mengubah persekitaran serta maknanya kepada Rancangan Malaysia Ke-13,” katanya kepada Bernama selepas mengetuai kunjungan MDEC ke Wisma Bernama di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj.

Mengulas selanjutnya, Anuar Fariz berkata Malaysia kini semakin giat dalam meletakkan kedudukan sebagai sebuah negara yang dipacu AI dengan teknologi digital berperanan penting merentasi pelbagai industri, termasuk media dan operasi perniagaan.

Beliau turut berkongsi usaha berterusan MDEC yang menumpukan inisiatif seperti akses pasaran, pendigitalan perniagaan serta pembangunan bakat bagi memastikan pertumbuhan inklusif di sepanjang ekosistem digital.

“Kami menumpukan aspek bagaimana AI dan teknologi dapat meningkatkan produktiviti dan menjadikan Malaysia lebih makmur serta memastikan tiada pihak yang ketinggalan.

“Itulah impak terbesar sambutan ulang tahun ke-30 kami iaitu untuk dapat menyumbang semula kepada Malaysia,” katanya.

Pada masa sama, Anuar Fariz turut menekankan kepentingan dalam memanfaatkkan AI dan teknologi untuk meningkatkan kecekapan serta produktiviti ketika cabaran global terus mempengaruhi landskap ekonomi.

Beliau juga menyifatkan keadaan semasa yang bercirikan ketidaktentuan geopolitik serta isu berkaitan tenaga, hanya memerlukan tumpuan lebih kukuh ke atas penerimagunaan teknologi demi mengekalkan pertumbuhan serta daya tahan.

“Dunia kini amat berbeza dengan cabaran geopolitik serta isu-isu tenaga. Perkara utama adalah bagaimana kita dapat menggunakan teknologi untuk meningkatkan kecekapan. AI adalah pemangkin terbesar dan perlu dimanfaatkan untuk meningkatkan produktiviti serta kualiti hidup rakyat Malaysia.

“Gangguan rantaian bekalan kekal menjadi isu penting. Tumpuannya adalah bagaimana dapat mengurus serta melindungi diri. Teknologi adalah pengupaya terbaik,” kata beliau.

-- BERNAMA