Bursa Malaysia Ditutup Hampir Tidak Berubah
Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani
KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia mencatatkan dagangan tidak menentu hari ini dan ditutup hampir tidak berubah dengan indeks bergerak dalam jajaran kecil di tengah-tengah ketidaktentuan global, apabila para pelabur enggan mengambil pegangan jangka panjang.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) pulih daripada penurunan awalnya naik 0.31 mata, atau 0.02 peratus kepada 1,511.95 daripada paras penutup 1,511.64 pada Selasa.
Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi naik 0.25 mata kepada 1,511.89 dan bergerak turun naik antara paras 1,509.42 dan 1,512.96 sepanjang sesi dagangan.
Bagaimanapun, di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 488 berbanding 361. Sebanyak 503 kaunter tidak berubah, 1,054 tidak diniagakan dan 13 digantung.
Jumlah dagangan menyusut kepada 2.42 bilion unit bernilai RM1.79 bilion daripada 3.03 bilion unit bernilai RM1.92 bilion pada Selasa.
Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, indeks utama serantau juga kebanyakannya ditutup rendah susulan peningkatan ketegangan geopolitik berhubung kemungkinan penglibatan Amerika Syarikat (AS) dalam konflik Israel-Iran.
Minat terhadap risiko menurun di tengah-tengah laporan Presiden AS Donald Trump telah bertemu dengan penasihat kanannya untuk mengkaji pilihan ketenteraan, termasuk kemungkinan serangan ke atas Iran.
“Di bursa tempatan, kami mengekalkan pendirian berhati-hati berikutan ketegangan geopolitik yang memuncak di Timur Tengah.
“Kami berharap Israel dan Iran akan mengadakan rundingan damai untuk meredakan ketegangan dan memulihkan keyakinan dalam kalangan pelabur tempatan,” katanya kepada Bernama.
Thong berkata peluang membeli mungkin muncul dalam saham berkaitan minyak dan gas serta perladangan.
"Buat masa ini, kami mengekalkan sasaran FBM KLCI mingguan kami pada jajaran 1,500-1,530," katanya.
Sementara itu, ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata di pasaran tempatan perhatian tertumpu kepada kemajuan rundingan perdagangan AS-Malaysia.
Perbincangan antara delegasi Malaysia yang diketuai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz dengan Wakil Perdagangan AS Jamieson Greer dan para pegawai kanan merupakan detik penting dalam menangani ketidaktentuan berkaitan tarif yang telah membayangi prospek pelabur dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
"Walaupun dalam dagangan berhati-hati, sektor berorientasikan domestik terpilih menjadi tumpuan. Saham pengguna dan telekomunikasi mendahului kaunter untung, menunjukkan keyakinan pelabur terhadap daya tahan asas ekonomi Malaysia," kata Mohd Sedek.
Selain itu, peningkatan mendadak Malaysia dalam Ranking Daya Saing Dunia (WCR) 2025 International Institute for Management Development (IMD) yang melonjak 11 anak tangga ke kedudukan ke-23 di peringkat global -- mengukuhkan momentum pembaharuan dan kredibiliti makroekonomi negara.
“Ini menyokong tinjauan jangka sederhana kami yang positif, khususnya bagi sektor pembinaan, yang mana struktur seperti pelaburan pusat data berskala besar dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dijangka menjadi pemangkin utama pertumbuhan,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik 7.0 sen kepada RM9.62, Tenaga susut 8.0 sen kepada RM14.22, Public Bank menambah 2.0 sen kepada RM4.24, CIMB turun 1.0 sen kepada RM6.65, dan IHH Healthcare berkurangan 4.0 sen kepada RM6.85.
Dalam kalangan saham paling cergas, Tanco Holdings menokok setengah sen kepada 98 sen, SNS Network Technology naik 4.0 sen kepada 53.5 sen, Magma Group menambah 3.0 sen kepada 46 sen, NexG susut 1.5 sen kepada 34.5 sen dan Alam Maritim Resources jatuh setengah sen kepada 3.0 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 1.47 mata kepada 11,301.81 dan Indeks FBMT 100 susut 2.44 mata kepada 11,080.10.
Indeks FBM Emas Shariah susut 8.03 mata kepada 11,310.34, Indeks FBM ACE turun 1.63 mata kepada 4,441.34 dan Indeks FBM 70 merosot 22.21 mata kepada 16,200.79.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan merosot 12.70 mata kepada 7,238.04, Indeks Tenaga meningkat 1.84 mata kepada 740.61, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 24.86 mata kepada 17,421.43 manakal Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut sebanyak 0.09 satu mata kepada 150.06.
Jumlah dagangan Pasaran Utama menyusut kepada 1.06 bilion unit bernilai RM1.55 bilion daripada 1.19 bilion unit bernilai RM1.61 bilion yang dicatatkan pada Selasa.
Jumlah dagangan waran turun kepada 1.16 bilion unit bernilai RM180.99 juta daripada 1.62 bilion unit bernilai RM245.78 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 194.00 juta unit bernilai RM60.65 juta daripada 210.30 juta unit bernilai RM71.29 juta.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 187.75 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (133.44 juta), pembinaan (78.61 juta), teknologi (158.98 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (62.21 juta), hartanah (112.25 juta) perladangan (14.12 juta), REITs (23.75 juta), dana tertutup (9,900), tenaga (124.29 juta), penjagaan kesihatan (72.78 juta), telekomunikasi dan media (35.20 juta), pengangkutan dan logistik (29.70 juta), utiliti (31.23 juta), dan amanah perniagaan (24,900).
-- BERNAMA