MIMOS Sokong Usaha Uzbekistan Bangunkan Sektor Semikonduktor
KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- MIMOS Bhd, sebuah pusat inovasi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), menandatangani memorandum persefahaman (MoU) tiga pihak dengan Kementerian Ekonomi dan Kewangan Uzbekistan serta Uzeltexsanoat (UzETS).
UzETS merupakan persatuan yang dikendalikan oleh kerajaan Uzbekistan dan bertanggungjawab terhadap pembangunan dan integrasi global industri elektroteknikal dan elektronik negara berkenaan.
Dalam satu kenyataan hari ini, MIMOS berkata di bawah perjanjian itu, ia akan menyokong Uzbekistan untuk membangunkan keupayaan dalam pembuatan semikonduktor, pembangunan bakat, pemindahan teknologi dan pengkomersialan produk.
Agensi itu berkata MoU berkenaan telah ditandatangani pada 13 Jun semasa Forum Pelaburan Antarabangsa yang berlangsung di Tashkent, Uzbekistan.
“MoU ini bertujuan untuk meningkatkan sektor elektrik dan elektronik (E&E) Uzbekistan serta meletakkan negara itu sebagai pemain utama di rantau ini dan rantaian bekalan semikonduktor global dalam tempoh sedekad,” katanya.
MIMOS berkata kerjasama ini membawa nilai strategik kepada sektor teknologi dan ekonomi Malaysia dengan membuka akses kepada pasaran baharu yang belum diterokai di Asia Tengah melalui eksport dalam bentuk pengetahuan teknikal, harta intelek dan perkhidmatan latihan.
“Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pemain-pemain industri Malaysia dalam rantaian nilai semikonduktor akan berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan permintaan terhadap perkhidmatan dan produk bernilai tinggi apabila Uzbekistan membangunkan infrastruktur teknologinya,” tambahnya.
Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MIMOS Dr Saat Shukri Embong berkata kerjasama ini membolehkan agensi berkenaan berkongsi kepakaran dan kemudahannya untuk membantu Uzbekistan membangunkan industri semikondutornya, sambil mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju global dalam sektor berkenaan.
“Misi kami adalah untuk membantu membina ekosistem E&E yang mampan di sini, daripada bakat kepada teknologi hinggalah akses pasaran, supaya Uzbekistan dapat muncul sebagai peneraju serantau dalam domain semikonduktor,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Uzbekistan Jamshid Kuchkarov yang hadir pada taklimat MoU itu berkata penilaian dan penglibatan MIMOS menyediakan landasan strategik bagi mencapai cita-cita E&E negara itu, sekali gus membantu Uzbekistan untuk tidak bermula dari sifar.
Di bawah inisiatif itu, syarikat tujuan khas akan ditubuhkan dengan rancangan untuk ia beralih menjadi usaha sama komersial yang akan menerajui pelan induk E&E nasional Uzbekistan.
-- BERNAMA