BERITA TERKINI   SST buah import: Lebih banyak penjelasan akan dibuat bagi elak kekeliruan rakyat - PM Anwar | Lantikan Ketua Polis Negara masih belum dimuktamad - PM Anwar | Kerajaan tidak naikkan harga minyak (RON95) walaupun ketegangan berlaku antara Iran-Israel ketika ini - PM Anwar | E-waste bernilai lebih setengah bilion ringgit dirampas, 453 individu ditahan dalam Op Hazard 2.0 - Pengarah KDNKA Bukit Aman | 

WCR 2025 : Lonjakan Membanggakan Malaysia Bukti Reformasi Kerajaan MADANI Berhasil - PM Anwar

KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyifatkan lonjakan membanggakan kedudukan Malaysia dalam laporan Penarafan Daya Saing Dunia (WCR) 2025 sebagai petunjuk jelas usaha reformasi Kerajaan MADANI sedang membuahkan hasil.

Laporan terkini WCR 2025 menunjukkan Malaysia melonjak 11 anak tangga daripada tempat ke-34 pada 2024 kepada kedudukan ke-23, juga merupakan pencapaian terbaik negara sejak 2020.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan bahawa prestasi memberangsangkan Malaysia dalam perdagangan, kecekapan pentadbiran dan persekitaran pelaburan menjadi asas kukuh kepada kemajuan ekonomi yang inklusif serta mampan.

"Kita buktikan Malaysia mampu melonjak jauh dengan tekad politik, iltizam seluruh jentera kerajaan dan kerjasama erat sektor swasta.

"Pencapaian ini milik semua rakyat Malaysia. Ia adalah antara asas penting dalam perjalanan kita untuk meletakkan negara ini dalam kelompok ekonomi paling berdaya saing menjelang 2033 demi masa depan yang lebih cerah untuk anak-anak kita," kata Anwar dalam catatan terbaru di laman Facebook beliau, hari ini. 

WCR diterbitkan setiap tahun oleh Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) yang berpangkalan di Switzerland.

Ia merupakan laporan komprehensif yang menilai sesebuah ekonomi berdasarkan keupayaan menjana dan mengekalkan persekitaran mesra perniagaan yang menyumbang kepada kemakmuran jangka panjang.

-- BERNAMA