BERITA TERKINI   Kerajaan akan meneliti kemasukan kenderaan elektrik (EV) import sepenuhnya (CBU) ke Malaysia bagi melindungi ekosistem automotif negara - Johari | Menara Merdeka 118 dilancarkan secara rasmi sebagai MD Nexus pertama di Malaysia - Gobind | Kementerian Digital fokus pada enam bidang berimpak untuk percepat transformasi digital pada separuh pertama 2026 - Gobind | Nilai ringgit kukuh kepada paras terbaik hampir 8 tahun pada RM3.92 berbanding dolar AS setakat 28 Jan 2026, kekal antara mata wang terbaik di Asia - Amir Hamzah | Pertumbuhan 2025 dianggarkan 4.9 peratus, perdagangan melebihi 6 peratus dan capai rekod tertinggi RM3 trilion - Amir Hamzah | 

Petronas Lancar P-ETA Bagi Percepat Pembangunan Pekerja Industri Tenaga

 

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan rakan kongsinya melancarkan Akademi Peralihan Tenaga Petronas (P-ETA) pada persidangan Energy Asia 2025 yang berlangsung di sini hari ini.

Petronas dalam satu kenyataan berkata akademi itu yang terletak di Institut Teknologi Petroleum Petronas (INSTEP) di Terengganu, direka untuk membantu mempersiapkan tenaga kerja masa depan bagi memenuhi permintaan dan bertindak balas terhadap cabaran dan peluang dalam industri tenaga rendah karbon.

“P-ETA merupakan inisiatif institut latihan teknikal Petronas, INSTEP dan akan dibuka kepada peserta daripada pemain-pemain industri tenaga global.

“Akademi ini bertujuan untuk menyediakan pelajar dengan kemahiran dan pengetahuan yang betul bagi membolehkan mereka menyertai serta menyumbang kepada industri tenaga yang sedang berkembang pesat,” katanya.

Majlis pelancaran itu telah disempurnakan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.

Tengku Muhammad Taufik berkata akademi itu akan meletakkan asas untuk masa depan tenaga yang saksama, yang dibentuk oleh pemimpin dan profesional dengan kemahiran penting untuk memenuhi keperluan tenaga global yang semakin meningkat.

“Memandangkan Petronas terus melaksanakan strategi peralihan tenaga yang bertujuan mengimbangi keselamatan tenaga, kemampuan kos dan kemampanan, inisiatif ini dijangka dapat menyokong akses kepada peluang yang saksama untuk tenaga kerja melalui program-program yang akan direka khas dalam konteks peralihan tenaga,” katanya.

Selain itu, INSTEP telah menandatangani tiga memorandum persefahaman (MoU) dengan rakan kongsi latihan P-ETA iaitu Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA), Energy Institute yang berpangkalan di United Kingdom dan OPITO.

Ia berkata MoU itu bertujuan untuk melaksanakan program-program yang selaras dengan piawaian antarabangsa bagi mempercepat pembangunan keupayaan dalam bidang seperti pengurusan karbon, hidrogen, tenaga boleh baharu, kecekapan tenaga dan amalan ekonomi kitaran.

-- BERNAMA