Ringgit Meningkat Berbanding Dolar AS Ekoran Ketidaktentuan Memuncak
Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin, disokong oleh Indeks Dolar AS (DXY) yang lebih lemah apabila susut 0.21 peratus kepada 97.979 mata berikutan ketidaktentuan yang memuncak, kata pakar ekonomi.
Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.2370/2450 berbanding dolar AS daripada 4.2435/2480 ketika ditutup pada Jumaat lepas.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata krisis ketenteraan yang berterusan antara Israel dan Iran terus menjadi tumpuan pasaran ketika para pelabur sedang menunggu mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan AS (FOMC) yang dijadualkan pada 17 dan 18 Jun.
“Euro, pound British dan krona Sweden semakin meningkat berbanding dolar AS, manakala mata wang pasaran yang sedang pesat membangun mengalami prestasi tidak menentu dengan pergerakan dolar-ringgit berada dalam julat kecil.
“Pada sesi pagi, USD/MYR bermula pada paras RM4.2513 namun meningkat kepada sekitar RM4.2450 pada sebelah petang,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata harga minyak mentah Brent kini berada pada sekitar US$73.84 setong, menandakan pasaran minyak mentah agak stabil hari ini berbanding Jumaat lepas apabila mencecah kira-kira US$77 pada dagangan harian.
“Sentimen pasaran dijangka kekal berhati-hati sementara pelabur dan peniaga memantau perkembangan krisis ketenteraan itu,” katanya.
Mohd Afzanizam berkata risiko negatif terhadap pertumbuhan ekonomi kini semakin ketara.
Mesyuarat FOMC minggu ini penting dalam menentukan cara Rizab Persekutuan AS mengharungi cabaran demikian serta kedudukan fiskal AS yang lemah serta dasar perdagangan disruptif yang diamalkan pentadbiran semasa.
Pada penutupan dagangan, ringgit diniagakan lebih kukuh berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ringgit tinggi berbanding yen Jepun kepada 2.9397/9455 daripada 2.9448/9482 ketika ditutup pada Jumaat, namun lemah berbanding pound British kepada 5.7555/7664 daripada 5.7482/7543.
Unit tempatan juga turun berbanding euro kepada 4.9077/9170 daripada 4.8906/8958.
Ringgit juga didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang negara ASEAN.
Mata wang domestik meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.0389/0696 daripada 13.0807/1018 ketika ditutup pada Jumaat lepas, dan turut mengukuh berbanding peso Filipina kepada 7.51/7.53 daripada 7.55/7.56.
Bagaimanapun, ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.3102/3167 daripada 3.3077/3118, dan turut lemah berbanding rupiah Indonesia kepada 260.4/261.1 daripada 260.2/260.6 sebelum ini.
-- BERNAMA