BERITA TERKINI   Lebih 23.6 juta pengguna domestik di Semenanjung Malaysia nikmati kadar elektrik lebih adil - Suruhanjaya Tenaga | Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baharu | Rizab antarabangsa BNM berjumlah US$119.9 bilion pada 13 Jun, 2025, berbanding US$119.60 bilion yang dicatatkan pada 30 Mei 2025 | Penapis, pengilang gula di Malaysia boleh mohon pengecualian cukai kepada Jabatan Kastam - Kementerian Kewangan | Tiada sebab harga gula bertapis dinaikkan kerana syarikat seperti MSM Malaysia Holdings Bhd terus terima insentif bulanan kerajaan bagi pastikan kestabilan bekalan, harga - Kementerian Kewangan | 

IIBD Pemangkin Transformasi Johor Bahru Sebagai Hab Perniagaan Dunia

JOHOR BAHRU, 13 Jun (Bernama) -- Pelaksanaan Ibrahim International Business District (IIBD) bakal mentransformasikan pusat bandar Johor Bahru sebagai hab perniagaan bertaraf dunia, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor. 

Beliau berkata inisiatif strategik itu bukan sekadar pelan pembangunan fizikal semata-mata, malah menjadi dokumen dasar yang menggabungkan aspek ekonomi, sosial, persekitaran dan mobiliti secara menyeluruh yang juga bertepatan dengan prinsip pembangunan mapan didokong oleh Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi menerusi agenda MAJU JOHOR.

Perancangan itu memberi fokus kepada pembangunan semula kawasan bandar dengan penglibatan aktif sektor swasta dan komuniti tempatan selaras dengan semangat Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSEZ) yang memacu aspek keterhubungan serta pelaburan rentas sempadan melalui pendekatan Daerah Pembaikan Perniagaan (BIDs).

"Alhamdulillah, hari ini saya menerima pembentangan penuh berkenaan perkembangan terkini pelaksanaan IIBD, satu inisiatif strategik Kerajaan Negeri Johor yang bakal mentransformasikan pusat bandar Johor Bahru sebagai hab perniagaan bertaraf dunia.

"Menerusi sasaran meningkatkan nilai ekonomi daripada RM208 juta (2023) kepada RM21 bilion menjelang 2040, pelan IIBD ini akan menampilkan pelbagai zon pembangunan baharu merangkumi hab inovasi, kawasan warisan, pusat beli-belah, taman bandar dan infrastruktur pengangkutan awam bersepadu, " katanya menerusi hantaran terbaharu akaun Facebook beliau hari ini. 

Memperincikan selanjutnya, Mohd Jafni berkata IIBD turut menyasarkan penambahan kepadatan pekerjaan daripada 9,300 kepada 34,000 peluang pekerjaan serta peningkatan populasi penduduk bandar secara berperingkat untuk mewujudkan komuniti yang hidup, mesra dan selamat.

"Selain itu, aspek hijau dan kesejahteraan juga diberi penekanan melalui projek ‘Greening and Cooling the City,’ termasuk pembangunan taman bandar, laluan pejalan kaki, lorong basikal dan penggunaan teknologi mesra alam seperti Floating Wetland (tanah basah terapung) bagi meningkatkan kualiti air dan landskap bandar.

"Bagi sudut keselamatan pula, projek ini memperkenalkan sistem pencahayaan bandar, laluan belakang yang selamat dan ruang komuniti mesra keluarga untuk meningkatkan rasa aman dalam kalangan warga kota," katanya. 

Mohd Jafni berkata projek berkenaan turut menyasarkan mobiliti pintar melalui pembinaan sistem pengangkutan awam berskala sederhana, parkir bersepadu dan integrasi laluan bukan bermotor yang menyokong hasrat negeri ke arah bandar pintar dan rendah karbon.

"Saya komited dalam memastikan inisiatif ini bukan sekadar dokumen atas kertas tetapi menjadi realiti yang memberi manfaat langsung kepada rakyat, khususnya warga bandar raya Johor Bahru dan kawasan sekitarnya.

"InsyaAllah, kita akan terus berganding bahu memastikan setiap pembangunan yang dilaksanakan adalah inklusif, berimpak tinggi dan selaras dengan aspirasi rakyat Johor untuk menikmati bandar masa depan lebih lestari, produktif dan berdaya saing," katanya. 

Catatan sama turut memaklumkan proses pelaksanaan akan dipacu oleh IIBD (Johor) Sdn Bhd bersama agensi teknikal dan pihak berkuasa tempatan dengan pemantauan teliti oleh Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Kerja IIBD yang berperanan menyelaras kerja teknikal di peringkat lapangan.

Jawatankuasa Pemandu IIBD itu dipengerusikan oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB)  dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan) manakala Mohd Jafni bertindak sebagai penasihat bagi memastikan hala tuju strategik pembangunan itu sentiasa selaras dengan dasar Kerajaan Negeri.

-- BERNAMA