BERITA TERKINI   Syarikat berpangkalan di Singapura telah melabur lebih S$5.5 bilion ke Johor sejak pemeteraian MoU JS-SEZ -- TPM Singapura Gan | Kerajaan menimbang meningkatkan Dana Pembangunan Perniagaan Malaysia-Singapura bagi membantu lebih banyak PKS mendapat peluang perniagaan rentas sempadan – Tengku Zafrul | Semua projek pembuatan bagi industri tidak sensitif dalam sektor ekonomi yang dikenal pasti di JS-SEZ akan diberikan kelulusan pantas untuk Lesen Pengilangan (ML) dalam tempoh 7 hari bekerja - Tengku Zafrul | Tambahan RM200 juta yang diperuntukkan kepada CoSIF di bawah Belanjawan 2026 membolehkan pelaburan bersama dalam projek berimpak tinggi oleh PKS Malaysia di JS-SEZ - Tengku Zafrul | Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan pastikan kes pelajar perempuan Tingkatan Empat yang maut ditikam disiasat secara telus dan adil - Fadhlina  | 

Ringgit Terus Mengukuh Berbanding Dolar, Dipacu Kelemahan Data Ekonomi AS

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Ringgit meneruskan momentum pengukuhannya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada awal urus niaga Jumaat, didorong oleh data ekonomi negara maju itu yang lemah, kata penganalisis.

Pada 8 pagi, ringgit menokok kepada 4.2095/2270 berbanding dolar AS daripada 4.2155/2245, semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) susut sebanyak 0.72 peratus kepada 97.0921, paras terendah sejak Mac 2022 berikutan data ekonomi AS menunjukkan tanda-tanda pasaran tenaga kerja dan trajektori kadar inflasi yang lebih menyederhana.

Indeks Harga Pengeluar Teras AS bagi Mei mencatat bacaan lebih rendah daripada jangkaan iaitu 3.0 peratus berbanding anggaran konsensus sebanyak 3.1 peratus manakala Tuntutan Awal Pengangguran meningkat kepada 248,000 pada minggu lepas yang lebih tinggi daripada jangkaan kaji selidik pada 242,000.

“Data ini dilihat penting dalam menetapkan hala tuju dasar Rizab Persekutuan AS (Fed) berikutan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) akan bermesyuarat semula pada 17-18 Jun depan bagi menentukan kadar dasar,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata walaupun Fed dijangka mengekalkan kadar Dana Persekutuan (FFR) pada 4.50 peratus, peserta pasaran sebaliknya memberi tumpuan ke atas unjuran ekonomi suku tahunan.

“Pada Mac, pegawai Fed mengekalkan unjuran FFR pada 3.9 peratus bagi 2025 yang pada asasnya menunjukkan berlakunya dua kali penurunan kadar tahun ini.

“Sehubungan itu, kami percaya mata wang pasaran sedang pesat membangun, termasuk ringgit adalah berpotensi untuk terus mengukuh,” katanya.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding kumpulan mata wang utama pada sesi awal hari ini.

Ringgit meningkat berbanding euro kepada 4.8860/9063 daripada 4.8765/8869 pada Khamis, namun susut berbanding yen Jepun kepada 2.9412/9539 daripada 2.9329/9394 dan turun berbanding pound Britain kepada 5.7363/7601 daripada 5.7213/7335 sebelum ini.

Pada masa sama, mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Unit tempatan itu meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.54/7.58 daripada 7.55/7.57 dan naik sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 259.1/260.3 daripada 259.5/260.2.

Ringgit bagaimanapun susut berbanding dolar Singapura kepada 3.2936/3078 daripada 3.2934/3006 semalam dan merosot berbanding baht Thailand kepada 13.0124/0754 daripada 12.9828/13.0173 sebelum ini.

-- BERNAMA