SIDEC Sasar 30 Syarikat Sertai Retail-X 2025
KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Selangor Information Technology & Digital Economy Corporation (SIDEC) menyasarkan sebanyak 30 syarikat daripada lima sektor utama menyertai program Retail-X 2025.
Menurut SIDEC dalam kenyataan hari ini, lima sektor itu ialah fesyen dan gaya hidup; kesihatan, kecantikan dan kesejahteraan; makanan dan minuman; kediaman dan peralatan rumah serta jenama sosial dan impak komuniti.
Katanya edisi terbaharu program pemecut utama negeri itu menawarkan ganjaran dan sokongan bernilai sehingga RM300,000 kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) runcit B2C (perniagaan kepada pengguna) yang berpotensi tinggi di Malaysia.
“Permohonan kini dibuka sehingga 27 Jun 2025 dan program selama 12 minggu ini memberi tumpuan kepada transformasi digital perniagaan runcit melalui latihan intensif dalam pemasaran berasaskan kecerdasan buatan (AI), pengurusan inventori pintar, strategi omnisaluran dan peningkatan pengalaman pelanggan.
“Para peserta juga akan mendapat bimbingan langsung daripada pakar industri termasuk wakil daripada syarikat terkemuka seperti AEON, RHL Ventures, Carsome, Shopline, Signature Market, Mystartr, Ata Plus, F&N dan The Lego Group,” katanya.
Menurut SIDEC, kemuncak program ini ialah Final Demo Day apabila 20 peserta terbaik akan membentangkan idea dan model perniagaan mereka di hadapan pelabur, pemimpin industri dan rakan strategik.
“Seramai 10 peserta terbaik akan dipilih sebagai pemenang dan membawa pulang hadiah keseluruhan bernilai RM50,000 termasuk wang tunai, trofi, peluang pelaburan dan lawatan inovasi eksklusif,” katanya.
-- BERNAMA