Untung Bersih Bermaz Auto Susut Kepada RM155.9 Juta Bagi Tahun Kewangan 2025

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Keuntungan bersih Bermaz Auto Bhd (BAuto) susut lebih separuh kepada RM155.90 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 April, 2025 daripada RM345.58 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan sebelumnya.

Penurunan itu direkodkan seiring dengan penyusutan perolehan kepada RM2.62 bilion daripada RM3.91 bilion bagi tempoh yang sama, yang sebahagian besarnya disebabkan oleh kemerosotan jumlah jualan daripada operasi domestik Mazda dan Kia, menurut kenyataannya kepada Bursa Malaysia hari ini.

Bagi suku keempat berakhir 30 April, 2025, keuntungan bersih BAuto berkurangan kepada RM21.20 juta daripada RM90.22 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun kewangan 2024, manakala perolehan susut kepada RM528.65 juta daripada RM937.52 juta.

Dalam kenyataan media, BAuto menjelaskan perolehan kumpulan bagi suku keempat tahun kewangan 2025 merosot terutamanya disebabkan oleh penurunan jumlah jualan kenderaan daripada operasi domestik Mazda dan Kia, yang banyak terkesan susulan kemasukan berterusan kenderaan buatan China yang ditawarkan pada harga yang kompetitif.

Mengenai prospek, syarikat itu menjangkakan prestasi kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 April, 2026, akan terus mencabar.

BAuto memaklumkan sektor automotif dijangka mencatatkan pertumbuhan perlahan disebabkan faktor seperti tekanan inflasi, pertumbuhan global yang lemah akibat ketidaktentuan konflik geopolitik serta hasil rundingan berkaitan tarif perdagangan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat, yang boleh menjejaskan ekonomi tempatan secara keseluruhan.

“Kemasukan berterusan kenderaan jenama China juga telah menjejaskan jualan jenama lain di negara ini.

“Pelancaran model baharu dan/atau wajah baharu model sedia ada daripada jenama kenderaan sedia ada dan baharu kumpulan masih sangat bergantung kepada sentimen pasaran dan keadaan ekonomi semasa,” jelasnya.

Lembaga pengarah turut mengisytiharkan dividen interim keempat sebanyak 1.5 sen sesaham yang akan dibayar pada 5 Ogos, 2025.

Ini menjadikan jumlah dividen bagi tahun kewangan 2025 sebanyak 16.75 sen berbanding 26 sen pada tahun kewangan sebelumnya.

-- BERNAMA