BERITA TERKINI   Sekolah Angkat MADANI: Tokoh korporat dan penaja digalak turun padang santuni pelajar, kongsi pengalaman – PM Anwar | Lebih 23.6 juta pengguna domestik di Semenanjung Malaysia nikmati kadar elektrik lebih adil - Suruhanjaya Tenaga | Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baharu | Rizab antarabangsa BNM berjumlah US$119.9 bilion pada 13 Jun, 2025, berbanding US$119.60 bilion yang dicatatkan pada 30 Mei 2025 | 

Bursa Malaysia Ditutup Sedikit Tinggi Susulan Sentimen Serantau Berhati-hati

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup sedikit tinggi pada Khamis, dengan indeks utama meningkat 0.18 peratus, disokong oleh pembelian dalam saham berwajaran tinggi utiliti dan telekomunikasi.

Prestasi itu dicatatkan walaupun sentimen serantau adalah hambar disebabkan aktiviti pengambilan untung dan kebimbangan mengenai rundingan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 2.78 mata kepada 1,526.62 daripada 1,523.84 ketika ditutup semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka 3.87 mata lebih tinggi kepada 1,527.71 pagi tadi, dan kemudiannya bergerak antara 1,523.22 dengan 1,528.72 sepanjang sesi dagangan.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 500 berbanding 379, manakala 530 kaunter tidak berubah, 986 kaunter tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 2.73 bilion unit bernilai RM2.07 bilion daripada 3.27 bilion unit bernilai RM2.59 bilion semalam.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI meningkat didorong pembelian ke atas saham berwajaran tinggi terpilih seperti saham utiliti dan telekomunikasi.

Beliau berkata dalam pada itu kalangan indeks serantau utama kebanyakannya ditutup rendah berikutan aktiviti pengambilan untung selepas beberapa hari mencatatkan kenaikan.

“Selain itu, sentimen pasaran turut terjejas ekoran ancaman Presiden AS Donald Trump untuk mengenakan tarif perdagangan baharu kepada ekonomi utama dunia, manakala para pelabur kekal berhati-hati di samping menunggu butiran lanjut mengenai rundingan perdagangan antara AS dan China,” katanya kepada Bernama.

Mengulas prestasi pasaran tempatan, Thong berkata indeks utama itu masih berada dalam keadaan tidak banyak berubah walaupun mencatatkan penutupan pada prestasi tinggi dalam dua sesi dagangan terakhir.

Beliau berkata ini kerana indeks utama itu masih perlu melepasi paras rintangan 1,530 dan mengekalkannya untuk tempoh yang lebih lama.

“Oleh itu, kami menjangkakan FBM KLCI bergerak dalam julat 1,520 hingga 1,530 menjelang hujung minggu ini,” katanya.

Antara kaunter berwajaran tinggi, Maybank naik tujuh sen kepada RM9.77, Petronas Gas melonjak 38 sen kepada RM18.08, YTL Power naik lima sen kepada RM3.70, MISC menokok lapan sen kepada RM7.78, dan IHH Healthcare menambah empat sen kepada RM6.90.

Bagi saham paling aktif, MYEG susut setengah sen kepada 96.5 sen, PDZ Holdings kekal tidak berubah pada tiga sen, Jiankun naik setengah sen kepada tiga sen, Tanco merosot dua sen kepada 95.5 sen, manakala YTL Corporation meningkat dua sen kepada RM2.20.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 7.18 mata kepada 11,444.92, Indeks FBMT 100 meningkat 10.72 mata kepada 11,214.27, manakala Indeks FBM Emas Syariah menokok 4.84 mata kepada 11,397.51.

Bagaimanapun, Indeks FBM 70 susut 22.56 mata kepada 16,502.66 dan Indeks FBM ACE turun 19.36 mata kepada 4,524.69.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga naik 2.36 mata kepada 726.13 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 10.12 mata kepada 17,789.28.

Sementara itu, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.12 mata kepada 152.19 dan Indeks Perladangan susut 20.08 mata kepada 7,193.74.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama berkurangan kepada 1.21 bilion unit bernilai RM1.82 bilion daripada 1.41 bilion unit bernilai RM2.32 bilion yang dicatatkan pada Rabu.

Jumlah dagangan waran susut kepada 1.31 bilion unit bernilai RM160 juta daripada 1.61 bilion unit bernilai RM175.22 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE sebanyak 211.79 juta unit bernilai RM81.62 juta berbanding 255.08 juta unit bernilai RM93.16 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 180.95 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, diikuti oleh produk dan perkhidmatan perindustrian (172.0 juta), pembinaan (99.67 juta), teknologi (142.88 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (66.4 juta), hartanah (157.49 juta), perladangan (15.66 juta), REIT (34.41 juta), dana tertutup (92,400), tenaga (128.43 juta), penjagaan kesihatan (58.59 juta), telekomunikasi dan media (47.68 juta), pengangkutan dan logistik (55.01 juta), utiliti (53.33 juta), serta amanah perniagaan (17,100).

-- BERNAMA