BERITA TERKINI   Lebih 23.6 juta pengguna domestik di Semenanjung Malaysia nikmati kadar elektrik lebih adil - Suruhanjaya Tenaga | Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baharu | Rizab antarabangsa BNM berjumlah US$119.9 bilion pada 13 Jun, 2025, berbanding US$119.60 bilion yang dicatatkan pada 30 Mei 2025 | Penapis, pengilang gula di Malaysia boleh mohon pengecualian cukai kepada Jabatan Kastam - Kementerian Kewangan | Tiada sebab harga gula bertapis dinaikkan kerana syarikat seperti MSM Malaysia Holdings Bhd terus terima insentif bulanan kerajaan bagi pastikan kestabilan bekalan, harga - Kementerian Kewangan | 

Malaysia Berusaha Dapatkan Kadar Tarif Lebih Rendah Dalam Rundingan AS Pada 18 Jun - Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Malaysia dalam usaha mendapatkan kadar tarif yang lebih rendah untuk sektor terpilih di bawah kadar tarif minimum 10 peratus Amerika Syarikat (AS), terutamanya untuk industri yang dianggap penting kepada kedua-dua negara, menjelang satu lagi pusingan rundingan di Washington pada 18 Jun.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata rundingan itu bertujuan mendapatkan terma yang lebih adil untuk pengeksport Malaysia yang terjejas oleh tarif asas baharu yang diumumkan oleh pentadbiran AS.

“Pada masa ini, AS mengenakan tarif sebanyak 24 peratus ke atas beberapa eksport Malaysia. Sudah tentu, sasaran pertama kami ialah mengurangkan kadar itu. Keduanya, mengenal pasti sektor yang sesuai dikenakan tarif di bawah 10 peratus.

“Kita perlu mempertimbangkan sektor yang penting kepada pengeksport Malaysia dan juga penting kepada ekonomi AS,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Pelan Strategik Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2026–2030 di sini hari ini.

Bagaimanapun, sektor tertentu yang sedang dalam rundingan tidak dinyatakan.

Pada April 2025, kerajaan AS mengumumkan langkah tarif baharu melibatkan lebih 60 negara, termasuk Malaysia. Pelaksanaan tarif ini telah ditangguhkan sementara selama 90 hari untuk memberi ruang kepada rundingan.

-- BERNAMA