BERITA TERKINI   Syarikat berpangkalan di Singapura telah melabur lebih S$5.5 bilion ke Johor sejak pemeteraian MoU JS-SEZ -- TPM Singapura Gan | Kerajaan menimbang meningkatkan Dana Pembangunan Perniagaan Malaysia-Singapura bagi membantu lebih banyak PKS mendapat peluang perniagaan rentas sempadan – Tengku Zafrul | Semua projek pembuatan bagi industri tidak sensitif dalam sektor ekonomi yang dikenal pasti di JS-SEZ akan diberikan kelulusan pantas untuk Lesen Pengilangan (ML) dalam tempoh 7 hari bekerja - Tengku Zafrul | Tambahan RM200 juta yang diperuntukkan kepada CoSIF di bawah Belanjawan 2026 membolehkan pelaburan bersama dalam projek berimpak tinggi oleh PKS Malaysia di JS-SEZ - Tengku Zafrul | Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan pastikan kes pelajar perempuan Tingkatan Empat yang maut ditikam disiasat secara telus dan adil - Fadhlina  | 

Pertumbuhan IPI Malaysia Pada April Mencerminkan Permintaan, Industri Yang Kukuh

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Pertumbuhan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) Malaysia pada April 2025, didorong terutamanya sektor pembuatan yang teguh, mencerminkan permintaan agregat yang kukuh dan daya hidup industri,” kata pakar ekonomi.

Ketua Ahli Ekonomi Global Juwai IQI Shan Saeed berkata kerajaan dilihat komited untuk mengekalkan kestabilan pertumbuhan makroekonomi.

“Sedikit peningkatan dalam pembuatan berorientasikan domestik menandakan pangsi strategik ke arah daya tahan ekonomi dalaman, disokong oleh langkah proaktif kerajaan.

“Langkah ini termasuk rangsangan permintaan, insentif untuk perusahaan kecil dan sederhana, serta pelaburan infrastruktur, semuanya bagi mengukuhkan keyakinan pelabur tempatan dan meningkatkan kapasiti produktif,” katanya kepada Bernama.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), IPI Malaysia meningkat 2.7 peratus tahun ke tahun pada April 2025, disokong oleh pertumbuhan 5.6 peratus dalam sektor pembuatan.

Jabatan itu berkata industri berorientasikan eksport dalam sektor pembuatan pada April 2025 meningkat sebanyak 6.4 peratus berbanding pertumbuhan 4.8 peratus pada Mac 2025, manakala industri berorientasikan domestik berkembang sebanyak 3.9 peratus pada April 2025 berbanding 2.3 peratus pada Mac 2025.

DOSM juga melaporkan bahawa sektor perlombongan dan elektrik masing-masing merosot sebanyak 6.3 peratus dan 1.6 peratus pada April 2025.

Senada dengan Shan, pensyarah ekonomi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Prof Madya Dr Muhammad Irwan Ariffin berkata pertumbuhan IPI negara pada April 2025 merupakan petanda positif kepada ekonomi, di sebalik penurunan dalam sektor perlombongan dan elektrik.

“Walaupun tinjauan keseluruhan kekal optimistik dan berhati-hati, kita mesti sentiasa mengambil kira risiko dan cabaran tertentu.

“Penurunan dalam sektor perlombongan dan elektrik, terutamanya di tengah-tengah ketidaktentuan perdagangan global, boleh menjejaskan pertumbuhan dalam beberapa bulan akan datang,” katanya.

Selain itu, beliau menekankan mengenai cabaran seperti penggunaan domestik yang lebih perlahan dan potensi gangguan perdagangan global, yang menyebabkan beberapa institusi antarabangsa menyemak semula unjuran pertumbuhan mereka untuk kedua-dua Malaysia serta ekonomi global.

“Bagaimanapun, prestasi pembuatan Malaysia yang menggalakkan dan aliran masuk pelaburan yang stabil menunjukkan asas yang kukuh.

“Jika permintaan global kekal berdaya tahan, ekonomi berada dalam kedudukan yang baik untuk berdepan dengan cabaran tersebut.

“Jadi, amat penting untuk memantau dengan teliti kedua-dua faktor domestik dan luar kerana ia terus membentuk prospek permintaan untuk sepanjang tahun ini,” katanya.

Beliau juga menjangkakan kedua-dua sektor pembuatan berorientasikan eksport dan berorientasikan domestik memainkan peranan penting dalam memacu prestasi perindustrian positif dalam laporan IPI bagi Mei 2025 akan datang.

“Sektor ini telah menunjukkan daya tahan walaupun berdepan cabaran global dan domestik, dan pertumbuhan berterusan sektor tersebut dijangka mempengaruhi dengan ketara kepada keseluruhan keluaran perindustrian Malaysia,” katanya. 

Pada peringkat global, Muhammad Irwan berkata pertumbuhan perindustrian Malaysia secara relatifnya adalah sederhana berbanding pesaing serantau seperti Vietnam dan Taiwan, menekankan mengenai pengajaran berharga yang boleh dipelajari dari negara-negara tersebut, seperti menambah baik infrastruktur perindustrian dan memupuk perkongsian industri-akademik yang lebih kukuh.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menyatakan bahawa industri berorientasikan eksport yang lebih kukuh dalam sektor pembuatan pada April 2025 berdasarkan aktiviti yang dilakukan lebih awal oleh rakan perdagangan, terutamanya dari Amerika Syarikat, menjelang kenaikan tarif yang dijangkakan pada separuh kedua 2025.

“Ia mencadangkan mengenai prospek lebih mencabar pada separuh pertama 2025, apabila peniaga dan pelabur kekal berhati-hati mengenai tarif dan potensi kesannya kepada ekonomi,” katanya.

-- BERNAMA